Bot laju cuba seludup masuk 23 PATI digagalkan di Semporna

SEMPORNA: Taktik licik sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyelinap masuk ke negara ini dengan menaiki sebuah bot laju gagal apabila kegiatan mereka dihidu Pasukan Polis Marin (PPM), semalam

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.05 petang ketika sepasukan anggota PPM yang sedang melakukan rondaan rutin mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di perairan Pantau-Pantau, di sini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim, berkata pasukannya bertindak menahan bot berkenaan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan.

“Hasil pemeriksaan mendapati 23 individu warga asing berada di atas bot terbabit dan dipercayai cuba menyusup masuk ke Malaysia dari negara jiran melalui laluan laut tidak sah.

“Kesemua mereka kemudian ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki terlibat dalam cubaan penyeludupan manusia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua tangkapan itu kini disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, rondaan dan kawalan keselamatan di kawasan perairan Sabah akan terus dipertingkat, terutama di laluan panas yang sering menjadi tumpuan sindiket penyeludupan manusia dan barangan terlarang.

“PPM Wilayah 4 akan memperkukuh risikan serta memperhebat kawalan keselamatan bagi memastikan perairan negara kekal selamat dan bebas daripada sebarang ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan serta ekonomi negara.

“Kita juga menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti penyeludupan atau pergerakan mencurigakan di kawasan perairan bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan itu sepenuhnya,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama