KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi
menjadi tumpuan serantau apabila dipilih sebagai tuan rumah Mesyuarat Pegawai
Kanan ke-21 Mengenai Kebudayaan dan Seni (SOMCA) yang bertujuan memperkukuhkan
kerjasama seni dan budaya dalam kalangan negara ASEAN.
Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan
Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata pemilihan Sabah sebagai lokasi
penganjuran adalah bertepatan dengan kedudukan negeri itu yang terkenal dengan
kepelbagaian komuniti, keunikan warisan serta seni tradisi yang masih
terpelihara.
"Seperti yang diketahui umum,
Sabah ini kaya dengan budaya, kaya dengan kesenian, kaya dengan pelbagai latar
belakang komuniti. Itu sebabnya Sabah dipilih untuk mesyuarat peringkat SOMCA
ASEAN," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan SOMCA disini pada
Rabu.
Beliau turut menekankan bahawa
penglibatan rakan dialog ASEAN iaitu China, Jepun dan Republik Korea memainkan
peranan besar dalam memperkukuhkan ekosistem budaya rantau ini melalui pelbagai
bentuk kerjasama termasuk warisan, pembangunan kapasiti dan projek seni
kreatif.
"Apa yang jelas kita dapat lihat,
ada delegasi daripada tiga rakan kita yang bukan di bawah ASEAN. Tapi kita
panggil mereka partners iaitu negara China, Jepun dan juga Republik Korea.
"Ini menunjukkan komitmen dan juga
persefahaman yang baik di kalangan ahli-ahli ASEAN untuk kita bersama-sama juga
memperkasakan ASEAN dalam sektor kebudayaan,” katanya.
Mengulas manfaat kepada Sabah, beliau
berkata penganjuran SOMCA bukan sahaja memperkukuh usaha melindungi dan
memelihara budaya tempatan, malah membuka ruang lebih luas untuk mempromosi
kekayaan warisan Sabah kepada rantau Asia Tenggara dan dunia.
"Pertama, ia akan memperkuat
komuniti dalam hal melindungi budaya kita. Dan juga, ia merupakan platform yang
terbaik bagi kita untuk mempromosikan kekayaan kita dalam budaya dan dunia,”
jelasnya.
Beliau percaya penganjuran mesyuarat
ini di Sabah memberi peluang kepada delegasi untuk melihat sendiri warisan dan
tarikan budaya negeri tersebut, sekali gus memperluas apresiasi terhadap
keindahan dan kepelbagaian budaya Malaysia.
Seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), Malaysia kekal teguh dalam meletakkan budaya dan seni sebagai tunjang penting pelancongan lestari dan pembangunan ekonomi kreatif, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan inklusiviti, kelestarian dan kemakmuran bersama.
Menerusi kerjasama ASEAN dan pertukaran
budaya, MOTAC terus mempersembahkan warisan budaya Malaysia yang pelbagai,
keunggulan seni serta hospitaliti yang mesra kepada dunia, mencerminkan
aspirasi negara ke arah sebuah masyarakat yang progresif, harmoni dan inovatif.
Mesyuarat yang berlangsung selama lima
hari itu turut menampilkan pelbagai hasil kraf tradisional, tekstil, karya seni
dan produk kreatif tempatan melalui penganjuran bazar seni dan kraf Borneo.
Penganjuran Bazar tersebut membuka ruang kepada para perwakilan dan orang ramai
untuk mengenali serta menghargai kehalusan seni dan ekspresi budaya para
penggiat seni tempatan.
