Sabah berada di landasan betul capai kemajuan - Hajiji

 

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan bahawa Sabah kini kembali berada di landasan pembangunan yang tepat melalui hala tuju lengkap yang dilaksanakan sepanjang lima tahun pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, rakyat perlu menilai rekod kerajaan negeri dan membuat pilihan bijak pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah, 29 November ini.

“Sabah sudah berada di landasan yang betul untuk bawa Sabah ke mercu kejayaan dan kemajuan di masa akan datang. Jadi kita harap rakyat kita faham. Jangan salah pilih.

“Jadi saya harap rakyat tengok betul-betul. Jangan ikut perasaan tetapi lihat bukti yang dibuat oleh kerajaan sepanjang lima tahun ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis penyerahan gran subsidiari 1Borneo kepada USIA oleh Jabatan Tanah & Ukur Sabah bertempat di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memberi keyakinan bahawa kejayaan pemerintahan GRS dilihat kepada pencapaian ekonomi negeri selama lima tahun ini.

“Hasil daripada hampir RM4 bilion, kita boleh tingkatkan kepada RM7 bilion. Ini satu kejayaan yang cukup besar.

“Dulu ketika kita ambil alih, rizab negeri hanya sekitar RM3 bilion. Kini sudah melebihi RM8 bilion. Ini satu kejayaan dan rakyat mesti melihat ini.

“Bantuan kepada orang susah diberikan hampir 100,000 orang, RM300 sebulan, rumah mesra SMJ dan banyak lagi,”jelasnya.

Hajiji turut menyifatkan bantuan pendidikan sebagai antara kejayaan terbesar, dengan RM1.3 bilion diperuntukkan untuk biasiswa dan bantuan pelajar.

“Bantuan pendidikan ini paling besar dalam sejarah Sabah. Kita dapat memberi bantuan kepada pelajar-pelajar kita di seluruh Sabah,”ujar beliau.

Mengulas serangan pembangkang, beliau berkata ramai pihak yang mengkritik pernah memegang kerajaan tetapi gagal menunjukkan hasil.

“Pembangkang saja yang tidak nampak (pencapaian). Mereka dulu pegang pelbagai tanggungjawab dalam kerajaan negeri dan persekutuan, apa mereka buat?,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama