Hinava Hidangan Istimewa Sambut Delegasi SOMCA Ke-21

 

KOTA KINABALU:  Makanan tradisional Kadazan-Dusun iaitu Hinava antara hidangan istimewa bagi menyambut delegasi yang menghadiri Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN Bertanggungjawab Kepada Kebudayaan dan Kesenian (SOMCA) Ke- 21.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan mengalu-alukan kehadiran setiap wakil delegasi ASEAN termasuk tiga negara China, Jepun dan Republik Korea.

“Negeri Sabah bukan sahaja mempunyai keindahan alam semula jadi yang menakjubkan, bahkan kaya dengan kepelbagaian budaya yang selari dengan nilai-nilai semangat kerjasama dalam kalangan negara ASEAN.

“Hinava yang dihidangkan malam ini juga merupakan salah satu hidangan tradisional suku kaum pribumi di Sabah memandangkan terdapat lebih 30 etnik peribumi di negeri ini yang mempunyai identiti masing-masing.

“Sabah juga terkenal dengan perkataan BAH yang sangat sinonim dengan masyarakat di negeri ini” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan semasa Majlis Makan Malam SOMCA, SOMCA+3 Dan Sekretariat ASEAN anjuran Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC), pada Selasa.

Beliau turut mengalu-alukan para delegasi untuk meneroka khazanah yang terdapat di Sabah dengan keindahan yang menakjubkan daripada puncak Gunung Kinabalu hinggalah ke pulau-pulau sekitar negeri ini.

Selain itu, beliau turut berkata para delegasi berpeluang melihat sendiri proses pilihan raya negara ini memandangkan pada masa ini Sabah akan mengadakan pilihan raya tidak lama lagi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama