TAWAU: Perdana Menteri, Datuk Seri
Anwar Ibrahim, mengarahkan Kementerian Kesihatan meneliti keperluan menambah
kapasiti katil di Hospital Tawau bagi memastikan pesakit mendapat rawatan
sewajarnya.
Beliau berkata kapasiti hospital kini
sudah penuh walaupun selepas penambahan 150 katil baru dan mengarahkan Ketua
Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan meneliti kemungkinan menambah lagi
katil bagi meningkatkan kapasiti hospital.
"Hospital ini besar, blok baharu
pun nampak seperti bangunan hospital baru, tetapi kapasiti masih belum cukup.
"Jadi kapasiti itu masih
boleh ditambah lagi sekitar 100 ke 150 katil, tingkatkan kapasiti
kerana orang sakit perlu ditangani dengan baik dengan kemudahan yang
baik," katanya ketika merasmikan Blok Bangunan Baharu Hospital Tawau, pada
Isnin.
Di samping itu, beliau memaklumkan
kerajaan MADANI menumpukan perhatian kepada dua aspek utama dalam membela nasib
rakyat, iaitu pendidikan dan kesihatan.
“Kalau dilihat, banyak negara menumpu kepada pertahanan atau projek mega yang membanggakan. Namun, di bawah Kerajaan MADANI, kita tumpukan dua perkara terpenting iaitu pendidikan dan kesihatan, baru diikuti pembangunan infrastruktur.
"Sebab keluarga yang miskin kalau
kita mahu angkat nasib mereka mesti dengan pendidikan yang baik, anak kampung
boleh diangkat tidak dengan pendapatan segera, tapi perlu pendidikan.
"Sekolah-sekolah kita tekankan
agar diberikan kemudahan yang lebih baik, kemudian ibu bapa kita, anak-anak
kita dan kita sendiri pun kadang-kadang menghadapi masalah kesihatan.
"Jadi dengan kemudahan kesihatan
yang tidak memuaskan kita kena perbaiki, kita menekankan agar perbelanjaan
harus cukup dalam membangunkan pendidikan dan kesihatan," ujarnya.
Selain itu, Anwar turut memaklumkan isu
doktor kontrak hampir selesai dengan bantuan Kementerian Kesihatan dan Jabatan
Perkhidmatan Awam.
Hadir sama Menteri Kesihatan Malaysia,
Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan
Malaysia, Datuk Seri Suriani Ahmad, Pengarah Hospital Tawau, Dr. Norlimah
Arsad dan Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui.
