![]() |
| Sumber foto: Bernama |
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai khas kepada menteri pelancongan, seni dan budaya dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM8.8 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM1.765 juta, tujuh tahun lalu.
Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman terhadap Saifullah Minggu, 34, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap lapan pertuduhan yang dihadapinya.
Jika gagal membayar denda berkenaan, tertuduh berdepan hukuman tambahan penjara tujuh tahun.
Saifullah kelihatan sebak dan menangis ketika keputusan dibacakan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, dengan jaminan ditetapkan sebanyak RM280,000.
Suzana turut menasihati tertuduh supaya mengambil iktibar daripada hukuman yang dikenakan.
“Awak masih muda. Saya harap awak benar-benar insaf dan berubah menjadi lebih baik,” katanya.
Pada Februari tahun lalu, mahkamah memerintahkan Saifullah membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi lapan daripada 19 pertuduhan menerima rasuah.
Kesalahan itu melibatkan penerimaan wang daripada pemilik Inter Bev Network Sdn Bhd, yang dilakukan di beberapa lokasi termasuk Red Box Karaoke dan Coffee Bean di Pavilion Kuala Lumpur, pejabat setiausaha sulit kanan kementerian di Putrajaya, Vipod Residences di Temasya Anggun, Glenmarie serta stesen minyak Petronas di Dengkil.
Kesalahan berlaku antara 21 Disember 2018 hingga 1 Mac 2019, ketika kementerian diterajui Mohamaddin Ketapi yang ketika itu merupakan menteri daripada parti Warisan.
Pendakwaan dikendalikan berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
