Sabah di bawah BN negeri yang sangat maju - Ahmad Zahid

Zahid (tengah) ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Manifesto BN di Bangunan UMNO Sabah, di sini. 


KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan komitmen penuh parti itu untuk memacu pembangunan di Sabah sekiranya diberi mandat pada pilihan raya kali ini, sambil mengajak rakyat untuk ‘birukan’ semula negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Manifesto Rancangan Pembangunan Sabah (RPS1) hari ini, yang menekankan enam tonggak pembangunan bersesuaian dengan keperluan pelbagai kumpulan rakyat Sabah.

Menurut Zahid, manifesto tersebut mengambil kira pembangunan infrastruktur asas termasuk tiga serangkai iaitu jalan, elektrik dan air selain memastikan peluang pekerjaan untuk anak muda, perumahan mampu milik, pelabuhan utama serta lapangan terbang baharu.

“BN Sabah komited untuk mengembalikan pembangunan yang tertinggal, terutamanya yang melibatkan tiga serangkai ini.

“Kita mahu Mahkamah Anak Negeri diperkasakan dengan jawatan tetap, satu game changer yang rakyat Sabah amat perlukan,” katanya. 

Beliau turut menekankan kepentingan pengembangan peluang pekerjaan melalui pendidikan TVET (Technical and Vocational Education and Training) dan penglibatan pelabur luar bagi membangunkan ekonomi tempatan.

Menurutnya, sekitar 20 peratus pengangguran negara datang dari Sabah dan ini memerlukan perhatian serius kerajaan.

Selain itu, Zahid berkata manifesto juga memberi fokus kepada perumahan untuk keluarga muda dengan konsep ‘rent-to-own’ dan mempercepatkan projek lebuh raya Pan Borneo serta pembangunan pelabuhan Kudat.

Menjawab isu mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau menegaskan BN tidak akan melanggar janji dan komited memastikan pelaksanaan sepenuhnya dengan sokongan kerajaan pusat.

“Ini adalah kesinambungan daripada apa yang telah dilakukan sebelum ini dan saya sendiri akan mendesak di peringkat kabinet supaya MA63 dilaksanakan sepenuhnya,” katanya pada Majlis Pelancaran Manifesto RPS1, di sini hari ini.

Zahid turut mengakui berlaku serangan dan kritikan terhadap UMNO dan Datuk Seri Bung Moktar, tetapi menegaskan ia tidak melemahkan semangat jentera BN.

Sebaliknya, beliau yakin sokongan rakyat akan menguatkan calon-calon dan pemimpin BN untuk menawan kerusi yang ditandingi.

“Kita mahu menang semua kerusi, namun realitinya perlu bekerja kuat kerana pihak lawan juga mempunyai strategi.

“Saya yakin gelombang akan ke arah biru dan BN akan memimpin semula Sabah,” katanya.

Beliau menambah, BN mempunyai kesepakatan dengan rakan komponen serta Pakatan Harapan (PH) di semua kerusi yang ditandingi, dan sebarang keputusan mengenai calon Ketua Menteri akan dibuat melalui proses syura selepas kemenangan diperoleh.

“Hierarki parti adalah keutamaan dan ini memastikan kepimpinan diteruskan secara teratur,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama