Dakwaan tidak perlukan sokongan kaum Bugis fitnah terancang, Nizam lapor polis

TAWAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyifatkan isu tular yang mendakwa beliau tidak memerlukan sokongan masyarakat Bugis sebagai fitnah paling terancang.

Menurutnya, fitnah berkenaan bukti jelas bahawa pihak lawan kini terdesak untuk menggugat sokongan pengundi menjelang hari pengundian.

Katanya, fitnah yang disebarkan oleh sebuah portal berita itu bukan sahaja berniat jahat, malah cuba membakar sentimen kaum untuk merosakkan keharmonian masyarakat majmuk di Tawau.

“Isu tular itu satu fitnah yang sangat jelas. Ia tidak pernah keluar dari mulut saya, dan semua orang di Tawau tahu saya akrab dengan semua suku kaum. 

“Ini taktik terdesak mereka kerana sudah tidak ada modal,” katanya ketika ditemui dalam majlis ceramah perdana calon N.68 Apas bersama rakyat, hari ini. 

Nizam berkata, tindakan pihak tertentu memetik nama satu-satunya komuniti besar di Tawau bertujuan mencipta persepsi buruk terhadap dirinya serta memecahkan undi masyarakat setempat.

“Mereka sengaja gunakan sentimen Bugis. Mereka tahu masyarakat Bugis ialah antara komuniti terbesar dan paling kuat di Tawau. Bila tak ada isu, mereka cuba pecah-belahkan,” katanya.

Beliau menegaskan, rekod kerjanya membuktikan beliau sentiasa menjaga hubungan baik dengan semua komuniti tanpa mengira asal-usul.

Menangkis dakwaan kononnya beliau tidak memerlukan sokongan komuniti tertentu, Nizam mengingatkan bahawa beliaulah individu yang bertanggungjawab memastikan Festival Kebudayaan Antarabangsa di Tawau diteruskan.

“Saya yang berjumpa pimpinan negeri untuk dapatkan kelulusan festival itu. Ia melibatkan semua suku kaum. Jadi bagaimana pula saya dituduh tidak mahu sokongan komuniti tertentu?” katanya.

Menurutnya, usaha memutarbelit fakta itu menunjukkan lawan berada dalam keadaan terdesak dan sanggup memperjudikan keharmonian demi kepentingan politik sempit.

Susulan penyebaran fitnah itu, Nizam mengesahkan bahawa pihaknya telah mengarahkan peguam dan pegawai untuk membuat laporan polis ke atas portal berita terlibat.

“Saya mahu pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya. Ini bukan fitnah kecil. Ini fitnah yang cuba memecah-belahkan masyarakat di Tawau,” katanya.

Nizam mendakwa budaya politik sedemikian dibawa masuk oleh parti-parti luar yang tidak memahami cara masyarakat Sabah berpolitik.

“Ada pihak dari luar Sabah cuba bawa budaya politik kasar, menghentam peribadi dan menyentuh keturunan. Ini bukan budaya kita. Orang Sabah tidak suka cara begini,” tegasnya.

Beliau menyeru rakyat agar menolak pihak yang cuba membawa politik kepartian melampau sehingga mengorbankan keharmonian.

Walaupun cuba diserang dengan fitnah, Nizam berkata kempen beliau berjalan lancar dan sokongan pengundi tidak terjejas.

“Saya percaya pengundi Apas cukup matang, mereka tahu mana satu fakta dan mana satu fitnah. Malah  nampak siapa yang benar-benar bekerja sepanjang masa,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama