Bung Moktar berang dilabel Menteri Kerja Raya paling gagal

KOTA KINABALU: Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menzahirkan rasa ‘berang’ apabila beliau disifatkan sebagai Menteri Kerja Raya paling gagal ketika menerajui portfolio Kementerian Kerja Raya Sabah sebelum ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali yang mendakwa Ahli Parlimen Kinabatangan itu menjadi punca GRS hilang dua tahun kerana gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai Menteri Kerja Raya.

Armizan sebelum itu turut menggelar Bung Moktar sebagai ‘Menteri Kerja Raya paling gagal dalam sejarah peradaban manusia’, satu kenyataan yang disifatkan Bung sebagai keterlaluan.

Mengulas berhubung dakwaan itu, Bung Moktar menjelaskan bidang kuasanya sebagai Timbalan Ketua Menteri sebelum ini terhad terutamanya dalam meluluskan sebarang projek kerajaan negeri.

“Saya sudah katakan bahawa di Sabah ini yang berkuasa adalah Ketua Menteri dan Menteri Kewangan. Timbalan Ketua Menteri Sabah ini tiada apa-apa kuasa. (Peruntukan sebanyak) RM50,000 pun tidak boleh luluskan, jadi apa yang saya gagal?

“Sebab itu Armizan kalau mahu berpolitik dengan saya, berpolitik secara bijaksana. Kalau dia mahu berdebat dengan saya di mana-mana, beritahu dia, saya cabar.

“Tajuk (untuk debat) dia pilihlah. Dia jangan bertapuk (bersembunyi). Dia salah orang .. kalau orang lain dia boleh jolok tapi kalau dengan saya, janganlah.

“Saya boleh debat dengan dia. Di Parlimen boleh, Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh, di kaki lima boleh, di rumah dia pun boleh kalau dia mahu. Dia jangan temberanglah dengan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu video temu bual khas yang dimuat naik di laman media sosial, baru-baru ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama