TAWAU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Merotai, Datuk Ruji Ubi berikrar untuk membangunkan pusat rekreasi khusus buat golongan belia sekiranya diberi mandat pada pilihan raya kali ini.
Menurutnya, kemudahan riadah menjadi keperluan mendesak kerana anak muda di Bombalai, Kijang, Kuala Merotai, Taman Semarak dan Hot Spring masih tidak mempunyai kawasan rekreasi yang terancang.
“Belia di Merotai ini sangat aktif, tapi mereka tiada pusat rekreasi. Di bandar Tawau ada kompleks sukan dan taman, tetapi di kawasan-kawasan ini kosong.
“Kalau diberi peluang lima tahun, kita akan wujudkan kawasan riadah. Ia tidak memerlukan kos terlalu tinggi, asalkan ada kawasan lapang yang boleh dinaik taraf,” katanya ketika ditemui pada program Walkabout di Pasar Hot Spring dan Pasar Sin Onn, pagi tadi.
Ruji, calon nombor empat PH bagi DUN Merotai, berkata pusat rekreasi itu antara fokusnya untuk memastikan pembangunan Merotai bergerak seiring kawasan lain di Tawau.
Beliau turut berkongsi jadual hariannya yang padat, melaksanakan kira-kira 15 program setiap hari sebagai komitmen bertemu penduduk dan memperkenalkan nombor calon.
“Sambutan sangat baik. Ada yang saya jumpa kali kedua, kali ketiga. Saya pesan supaya beri sokongan jika mahu perubahan, terutama di Merotai dan Hot Spring,” katanya.
Ruji turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang banyak membantu Sabah, dan berharap momentum itu dapat diteruskan.
Dalam walkabout itu, beliau menerima beberapa aduan berkaitan infrastruktur dan meminta Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Hot Spring untuk meneliti serta membawa isu berkenaan kepada pihak berkuasa.
“Ada aduan sudah lama tidak dibaiki. Sebab itu turun padang ini penting untuk kita kenal pasti masalah,” katanya.
Dalam pada itu, Ruji turut menyatakan aspirasi menjadikan Merotai sebagai sebuah bandar baharu, lebih teratur dan mempunyai kemudahan lebih menyeluruh.
“Tujuan saya bertanding adalah untuk berkongsi pengalaman dan ilmu semasa memimpin di kementerian. Saya mahu Merotai ditransformasikan sebagai pekan baharu,” katanya.
Beliau yakin usaha membangunkan kemudahan rekreasi dan usaha lain akan lebih mudah direalisasikan sekiranya wakil rakyat sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.
Katanya, kemudahan itu penting untuk menyediakan ruang riadah sihat kepada belia serta meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.
