Kerajaan putus tambah kerusi Sabah, Sarawak - tetapi bukan capai kuota 1/3

 

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan akhirnya mengesahkan keputusan dasar untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak, namun ia tidak membawa kedua-dua wilayah itu mencapai kuota 1/3 kerusi seperti yang sering dituntut berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun penambahan kerusi akan dibuat, tuntutan 1/3 tidak dapat dipenuhi kerana wujud perbezaan tafsiran terhadap dokumen MA63 termasuk kedudukan Singapura ketika perjanjian itu dimeterai.

“Kerusi Parlimen ini interpretasi dia berbeza. Ada yang kata ia sebahagian MA63… tapi ia termasuk Singapura,” katanya ketika ditanya sama ada kuota itu bakal dilaksanakan menjelang PRU akan datang.

Anwar berkata, kerajaan sudah memaklumkan keputusan dasar kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg bahawa kerusi akan ditambah mengikut keperluan dan proses Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Tetapi untuk 1/3… tidak. Tidak ada komitmen ke arah itu. Namun, komitmen untuk meningkatkan jumlah kerusi memang ada,” katanya

Menurutnya, penambahan kerusi tidak hanya melibatkan Sabah dan Sarawak tetapi juga perlu mengambil kira keadaan di Semenanjung, termasuk kawasan Parlimen yang kini mencecah 380,000 hingga 400,000 pengundi.

“Bezanya kawasan luas tetapi penduduk sedikit, berbanding kawasan padat… ini perlu disemak untuk pastikan representasi lebih adil,” katanya.

Isu tafsiran kuota 1/3 kini dirujuk kepada Peguam Besar Sabah, Peguam Besar Sarawak dan Peguam Negara untuk diperhalusi sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan sebarang rundingan kuota 35 peratus atau 1/3 untuk Sabah dan Sarawak mesti dibincangkan dengan Ahli Parlimen Semenanjung kerana mereka menguasai 75 peratus daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Kali terakhir persempadanan semula dibuat adalah pada 2006, menjadikan Sabah memiliki 25 kerusi dan Sarawak 31 kerusi, jauh daripada angka 1/3 yang sering dituntut.

Fadillah sebelum ini turut menjangka proses persempadanan baharu mungkin tidak sempat diselesaikan sebelum PRU16.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama