KOTA KINABALU: DAP mengekalkan pendirian untuk bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah Ke-17 yang dijadualkan berlangsung pada 29 November ini
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kekuatan jentera, kemampuan calon dan strategi parti dalam menghadapi saingan sengit kali ini.
Katanya, DAP akan mempertahankan enam kerusi sedia ada iaitu Luyang, Kepayan, Likas, Tanjung Papat, Elopura dan Sri Tanjong, selain bertanding buat pertama kali di Tanjung Aru serta satu lagi kerusi di kawasan pedalaman yang akan diumumkan tidak lama lagi.
“Kita kekal dengan sasaran bertanding di lapan kerusi. Itu keputusan muktamad.
“DAP bukan parti yang bertanding di banyak tempat, tetapi di kawasan yang kita yakin boleh menang,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jentera DAP dan Pengumuman Calon PRN Sabah Ke-17 di sini, hari ini.
Beliau berkata, pengumuman rasmi bagi satu lagi kerusi pedalaman masih ditangguhkan kerana masih dalam perbincangan bersama gabungan rakan parti bagi mengelakkan pertindihan calon.
“Kita menghormati keharmonian dalam gabungan kerajaan. Sebarang keputusan mesti dibuat secara rundingan. Namun, DAP sudah bersedia untuk bertanding di kawasan itu,” katanya.
Anthony berkata, kesemua calon DAP adalah anak jati Sabah, dengan 50 peratus daripadanya wanita dan purata umur 39 tahun, menjadikan pasukan kali ini antara yang termuda dalam sejarah parti di negeri itu.
Beliau turut menjelaskan langkah menukar kerusi sesama pemimpin negeri adalah sebahagian strategi memperkukuh pengaruh parti.
“Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe akan berpindah dari Luyang ke Likas, manakala Timbalan Pengerusi Datuk Chan Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu akan bertanding di Tanjung Aru.
“Kami letakkan pemimpin utama di kawasan yang mencabar sebagai strategi memperluas pengaruh dan membawa tenaga baharu,” katanya.
Menurutnya, keputusan itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana DAP sudah biasa menukar kawasan bagi memperkukuh strategi kemenangan, termasuk menampilkan muka baharu dan calon wanita di beberapa kawasan utama seperti Tanjung Papat dan Sri Tanjong.
Dalam masa sama, Anthony menolak dakwaan bahawa langkah itu menunjukkan parti berdepan masalah dalaman atau kekurangan calon berpotensi.
“Pergerakan calon adalah strategi biasa setiap kali pilihan raya. Setiap kawasan ada dinamik tersendiri dan kita perlu sesuaikan strategi untuk menang,” katanya.
Terdahulu, sebelum ini, timbul ura-ura bahawa DAP bakal meletakkan calon di kerusi DUN Kemabong, namun senarai yang sebelum ini menafikan spekulasi tersebut.
Ura-ura itu muncul selepas laporan awal menyebut DAP dan UMNO mencapai persetujuan membahagikan kawasan di pedalaman dengan DAP dijangka mengambil alih Kemabong manakala Liawan diserahkan kepada UMNO.
Namun, berdasarkan senarai rasmi yang dikeluarkan semalam, DAP tidak menyenaraikan nama calon bagi Kemabong, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai pertembungan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 15 November, pengundian awal pada 25 November dan hari pengundian pada 29 November.
