PUSPANITA Tonggak Pemerkasaan Wanita Penjawat Awam

 

KOTA KINABALU : Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Cawangan Sabah kekal menjadi tonggak utama memperkasakan wanita penjawat awam dan memperkukuh kesejahteraan keluarga serta masyarakat.

Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Penasihat PUSPANITA Cawangan Sabah Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong berkata kekuatan organisasi bukan terletak pada bilangan ahlinya, tetapi pada kesatuan hati dan semangat kebersamaan yang dikongsi bersama.

"PUSPANITA telah membuktikan bahawa kekuatan organisasi bukan terletak pada jumlah ahlinya, tetapi pada kesatuan hati dan semangat yang dikongsi bersama.

"Inilah kunci kejayaan persatuan selama lebih empat dekad," katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam PUSPANITA Cawangan Sabah Kali Ke-42 bertemakan "Malam Citra Batik" di salah sebuah hotel terkemuka, pada Ahad.

Menurut Safar, PUSPANITA bukan sekadar sebuah persatuan tetapi keluarga besar yang sentiasa menyebarkan kasih sayang dan empati melalui pelbagai inisiatif kebajikan serta bantuan kepada golongan memerlukan.

"Saya amat menghargai keprihatinan PUSPANITA dalam melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat. Ia bukti nyata komitmen wanita penjawat awam terhadap kesejahteraan sosial," ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menyeru agar PUSPANITA terus memainkan peranan dalam memartabatkan industri batik tempatan yang menjadi lambang warisan budaya dan kreativiti bangsa.

"Tema ‘Malam Citra Batik’ amat bertepatan kerana batik mencerminkan keindahan seni dan jati diri bangsa. Saya berharap PUSPANITA terus mempromosikan batik serta menyokong usahawan kraftangan di negeri ini," kata beliau lagi.

Pada majlis tersebut hadirin turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan, pameran dan pertandingan bertemakan batik tradisional dan kontemporari. 

Hadir sama  Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Datuk Mohd Sofian Nair,  Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Dr Sabin Samitah, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah, Datuk Dr Nuinda Alias, serta Pengerusi Penganjur Majlis Makan Malam Citra Batik, Prof Dr Khadizah Tan Sri Osman.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama