PRU Sabah: Razali Tekankan Nilai Perubahan Budaya Kerja dan Komitmen Turun Padang

KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Datuk Mohamed Razali Razi@Bob menegaskan bahawa pilihan raya kali ini bukan soal memilih pemimpin yang lantang atau petah berbicara, tetapi memilih wakil rakyat yang benar-benar bekerja, turun padang, mendengar serta menyelesaikan masalah rakyat secara konsisten.

Berucap pada program Perjumpaan Keluarga Khairul Fahmi Gulam Rasul pada malam Sabtu, Razali menjelaskan bahawa budaya politik baharu perlu dibawa ke Darau dan Kampung Likas.

"Budaya yang menolak politik kebencian, tidak membezakan suku kaum, dan menekankan nilai keikhlasan serta amanah dalam perkhidmatan," katanya. 

Tegas Setiausaha Eksekutif GRS itu, rakyat sudah terlalu biasa dengan pemimpin yang hanya muncul lima tahun sekali dengan pidato lantang, namun gagal membawa hasil. 

“Tidak perlu pemimpin teriak sana, teriak sini tetapi hasilnya kosong. Yang penting adalah pemimpin yang rajin turun padang, dengar masalah, dan cari penyelesaian,” katanya.

Razali turut menarik perhatian bahawa sejak lebih dua tahun lalu, beliau dan pasukannya telah bergerak dari kampung ke kampung menyelesaikan pelbagai isu asas masyarakat. 

Antara contoh yang dikongsi adalah pemasangan sistem CCTV pertama di Kampung Likas atas permintaan penduduk, bagi meningkatkan keselamatan tanpa perlu penduduk berjaga malam untuk rondaan.

Menurutnya, pemilihan pada 29 November ini adalah peluang memilih seorang pemimpin yang berfungsi sebagai jambatan rakyat, bukan untuk kedudukan atau gelaran, tetapi sebagai tempat rakyat mengadu dan mendapatkan penyelesaian. 

“Saya bukan datang untuk menjadi Yang Berhormat, saya datang untuk menjadi jambatan kamu di Kampung Likas, menjadi mulut kamu untuk mencari penyelesaian,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa jika kerajaan bertukar, banyak perancangan dan dasar yang telah dilaksanakan GRS berisiko dibatalkan, menyebabkan pembangunan kembali tertangguh. 

Justeru, beliau menyeru pengundi mengekalkan kerajaan GRS bagi memastikan kesinambungan dasar dan projek pembangunan di Darau serta seluruh Sabah amnya.

Sebagai anak jati Kampung Likas, Razali merayu dengan rendah hati agar penduduk menilai dengan fikiran yang waras, bukan dengan emosi. 

“Kita pilih bukan kerana suku, bukan kerana agama, bukan kerana sentimen. Pilihlah berdasarkan prestasi, kerja, dan kemampuan membawa perancangan,” tegasnya.

Di akhir ucapan, beliau memohon agar pertemuan tersebut menjadi pembuka hati kepada pengundi Kampung Likas dan Darau untuk memberi peluang kepadanya berkhidmat. 

“InsyaAllah, dengan izin Allah, nombor 6 pada 29 ini, itulah harapan kita untuk membawa perubahan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama