Beri mandat kepada GRS, pembeli rumah pertama nikmati deposit percuma

KOTA KINABALU: Sabah menjadi negeri pertama dalam negara yang berjanji untuk menyediakan deposit rumah secara percuma bagi pembeli rumah kali pertama sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekali lagi diberikan mandat selepas 29 November ini.

Bekas Senator Datuk John Ambrose berkata, tiada negeri lain pernah melaksanakan langkah seumpamanya yang memberi manfaat khususnya kepada pasangan muda yang baharu berkahwin di negara ini.

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai dasar yang bersifat 'ground-breaking' kerana mampu membantu ribuan anak muda Sabah bagi memiliki rumah sendiri.

“Rakyat Sabah khususnya pembeli rumah kali pertama akan menjadi golongan bertuah menikmati janji ini. 

“Untuk memastikan janji ini menjadi kenyataan, GRS mesti diberi mandat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 (PRU17 Sabah)," katanya dalam kenyataan di sini. 

John yang juga Ahli Majlis Tertinggi GRS berkata, gabungan itu wajar diberi peluang kerana menjadi gabungan politik yang pertama menjanjikan bantuan penuh deposit.

Katanya, kos yang biasanya merangkumi 10 peratus daripada harga rumah lazimnya menjadi halangan terbesar kepada anak muda Sabah untuk memiliki rumah sendiri.

Beliau berkata, inisiatif itu menunjukkan GRS memahami realiti yang dihadapi oleh pekerja muda di negeri ini, di mana harga rumah yang semakin meningkat dan gaji yang tidak berkembang menjadikan pemilikan rumah semakin sukar.

“Mempunyai tempat berteduh adalah hak asasi manusia. Tetapi bagi ramai anak muda Sabah, memiliki rumah adalah cabaran kerana faktor seperti deposit. 

“Kebanyakan mereka baharu mula bekerja dan pastinya belum sempat mempunyai simpanan yang mencukupi untuk bayaran pendahuluan.

"GRS memahami cabaran mereka dan tampil dengan janji ini untuk membantu mereka memiliki rumah idaman,” katanya.

Beliau menjelaskan pelbagai kajian menunjukkan harga rumah di Sabah kekal antara yang paling tidak mampu milik di Malaysia berbanding dengan pendapatan yang dijana dalam negeri.

John menyatakan data negeri sebelum ini melaporkan Indeks Harga Rumah Malaysia di Sabah terus meningkat, dengan kebanyakkan rumah bandaraya ini, Penampang, Likas dan Tuaran dijual jauh melebihi kemampuan pekerja muda yang berpendapatan RM2,000 sehingga RM3,000 sebulan.

“Satu kajian nasional mendapati hanya sebilangan kecil belia Malaysia memiliki rumah, dengan deposit awal 10 peratus disebut sebagai halangan paling sukar. 

“Bagi rakyat Sabah, cabaran ini lebih parah kerana tahap gaji median negeri lebih rendah, menjadikan hampir mustahil bagi pekerja muda mengumpul RM20,000 sehingga RM40,000 atau lebih yang biasanya diperlukan untuk bayaran pendahuluan,” katanya.

Selain itu, John berkata, kadar sewa rumah di bandar Sabah melonjak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan ramai penyewa melaporkan kadar sewa di Kota Kinabalu kini menyaingi harga di Kuala Lumpur, walaupun gaji jauh lebih rendah.

Akibatnya, anak muda Sabah sering terperangkap dalam kitaran menyewa tanpa mampu menyimpan cukup untuk memasuki pasaran hartanah.

Di bawah cadangan GRS, John menjelaskan pembeli rumah kali pertama tidak lagi perlu membayar deposit, sekali gus menghapuskan halangan kewangan terbesar di peringkat awal.

John berkata, janji deposit ini menghantar mesej jelas bahawa keperluan anak muda Sabah diberi keutamaan.

John menggesa rakyat Sabah, khususnya golongan muda, agar tidak melepaskan peluang seumur hidup ini. 

“Berikan mandat kepada GRS untuk memerintah semula,” katanya sambil menambah bahawa jika gabungan itu kembali berkuasa ia akan memperuntukkan 50 unit rumah SMJ di setiap kawasan, di mana 10 unit akan dikhaskan untuk golongan muda dalam kategori B40 dan e-Kasih, khususnya pasangan baharu berkahwin.

-Utusan Borneo Online


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama