![]() |
| Khairul Firdaus sewaktu ditemui media selepas sesi lepakking anak muda bersama calon GRS N.24 Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, di Putatan. |
PUTATAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan semakin berani mengetengahkan bakat muda sebagai calon berpotensi memimpin negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi, berkata langkah itu dilihat sebagai perubahan besar dalam landskap politik Sabah.
Menurut beliau, tidak banyak parti yang berada dalam kerajaan berani memberi ruang kepada generasi muda, namun GRS membuktikan keyakinan terhadap kemampuan mereka.
"Tidak banyak parti dalam tampuk kuasa memberikan peluang kepada anak-anak muda,
"Keputusan yang dibuat oleh GRS amat baik, terutama kepada sektor belia," katanya.
Firdaus berkata, walaupun pengundi cenderung menyukai calon muda, kemampuan bekerja dan wawasan untuk memajukan kawasan tetap menjadi keutamaan.
Jelasnya, calon muda GRS kali ini memiliki dua asas penting serta mampu melaksanakan tanggungjawab dan mempunyai kemampuan membangunkan komuniti setempat.
Beliau turut menegaskan bahawa GRS bukan sekadar meletakkan calon muda untuk memenuhi kuota, sebaliknya menyediakan latihan kepimpinan yang sistematik.
"Dalam kerajaan hari ini kita sudah berani meletakkan ramai anak muda melalui pengambilan kadet dan program leadership grooming,
"Banyak asas kepimpinan diberi penekanan supaya mereka benar-benar bersedia menjadi pemimpin," katanya lagi.
Antara calon muda GRS pada PRN kali ini ialah Rafie Robert Tawik (N40 Bingkor), Samsiah Usman (N70 Kukusan), Shah Alfie Yahya (N24 Petagas), Johainizamshah Johari (N58 Lamag), Noordin Abdul Hussin (N66 Bugaya), Joeynwood Bansin (N26 Moyog) dan Dr Andi Md Shamsureezal (N71 Tanjung Batu) yang datang dari pelbagai latar belakang serta kepakaran berbeza.
Secara keseluruhan, hampir 35 peratus calon muda GRS terdiri daripada muka baharu, memperlihatkan komitmen gabungan itu mengangkat barisan pelapis yang lebih segar, progresif dan dekat dengan denyut nadi pengundi baharu.
Firdaus berkata demikian ketika sesi lepakking anak muda bersama calon GRS N.24 Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, di Putatan.
