KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan bahawa parti tidak pernah membuang mana-mana ahlinya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) negeri ke-17 akan datang.
Beliau yang juga merupakan Ketua Menteri Sabah berkata, mereka (ahli) sendiri yang memilih untuk meninggalkan parti selepas tidak dicalonkan.
“Ramai juga yang melobi tu, yang tidak dapat, sudah kita buang.
“Yang tidak dapat calon itu, mereka fikir soal calon saja. Jadi bila tidak dapat, mereka pergi lah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan FELO SMJ 4.0, di Dewan Bankuasi Menara kinabalu, di sini, hari ini.
Beliau berpendapat bahawa perjuangan politik sebenar bukan terletak pada jawatan atau kedudukan, tetapi pada kesetiaan dan keikhlasan berjuang untuk rakyat.
“Jadi pemimpin, pejuang kita kena ada kualiti itu, bukan kerana tidak dapat calon kita merajuk pergi,” katanya.
Hajiji berkata bahawa hal itu merupakan peringatan kepada ahli parti yang kecewa selepas tidak tersenarai sebagai calon menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU) Sabah yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan tanggapan bahawa PRU Sabah akan menjadi ‘free for all’, beliau menegaskan bahawa GRS masih mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Tidaklah begitu. Kita masih dalam kerjasama dengan PH. Kalau ada belanggar sikit-sikit itu, boleh lah, tidak apa-apa,” tambahnya.
Sementara itu, Hajiji turut memaklumkan bahawa pihaknya kini sudah memuktamadkan penamaan calon dan pengumuman rasmi dijangka akan dibuat sekitar 11 atau 12 November ini.
