PUTATAN: PKR Sabah menegaskan sekali lagi tuntutan parti itu untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan (DU) Petagas pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17 dengan alasan kawasan tersebut bukan kerusi penyandang GRS dan wajar dibuka untuk rundingan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, berkata Petagas adalah kerusi unik kerana ia bukan milik GRS.
Sebaliknya kerusi berkenaan pernah dimenangi Warisan pada PRN lalu, sekali gus meletakkannya dalam kategori kerusi yang boleh dirundingkan mengikut prinsip ‘rule of incumbency’.
Menurutnya, prinsip itu menetapkan bahawa kerusi dimenangi sesebuah parti pada PRU Sabah mesti dihormati, manakala kerusi yang berubah selepas itu bebas dirundingkan antara parti dalam blok kerajaan.
Mustapha berkata, PKR mempunyai asas sokongan kukuh di kawasan tersebut berdasarkan keputusan PRU15 di Parlimen Putatan yang menyaksikan calon PKR tewas tipis dengan hanya 124 undi.
"Prestasi kita amat baik, asas penyokong di Putatan sangat kuat. Sebab itu PKR ada asas kukuh untuk letak calon di DU Petagas," katanya ketika ditemui dalam program siri Jelajah Harapan Orang Sabah, di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun PKR berupaya menuntut lebih banyak kerusi berdasarkan kekuatan yang ada, parti itu memilih untuk kekal berdisiplin dalam kerjasama politik bersama Pakatan Harapan dan GRS.
"Kita hanya minta satu kerusi saja, iaitu Petagas. Ini untuk menjaga semangat kerjasama. Kita mahu mesej jelas kita bekerja sebagai rakan strategik,” katanya lagi.
Mustapha turut mengesahkan bahawa keputusan rundingan pembahagian kerusi kini memasuki fasa akhir dan akan dimuktamadkan menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) tidak lama lagi.
