PETALING JAYA: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membidas kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menasihatinya supaya kekal komited kepada parti sekiranya mahu kembali menyertai UMNO.
Khairy berkata, beliau tidak pernah meninggalkan UMNO seperti yang digambarkan sesetengah pihak, sebaliknya parti itulah yang memecatnya pada Januari 2023 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Biar saya jelaskan, saya tidak pernah meninggalkan UMNO. Kamu yang memecat saya,” katanya dalam satu hantaran di Instagram, hari ini.
Beliau turut mengingatkan supaya tiada pihak cuba menulis semula sejarah, memandangkan laporan media yang mengesahkan pemecatannya masih boleh dirujuk dengan jelas.
“Tolong jangan cuba untuk menulis semula sejarah,” katanya sambil memuat naik tangkap layar laporan berita mengenai kenyataan Bung Moktar yang menyentuh kemungkinan beliau kembali ke UMNO.
Semalam, Bung Moktar dilaporkan berkata, Umno tiada masalah untuk menerima semula Khairy, namun beliau perlu menunjukkan komitmen penuh kepada parti dan tidak meninggalkannya lagi jika benar-benar ingin kembali.
Khairy, yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal, dipecat daripada UMNO selepas dikatakan melanggar disiplin parti semasa PRU15.
Sebelum ini, beliau secara terbuka mengkritik kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, terutama selepas Barisan Nasional (BN) meletakkannya sebagai calon di kerusi Parlimen Sungai Buloh — kawasan kubu kuat Pakatan Harapan (PH).
Dalam pilihan raya berkenaan, Khairy tewas kepada calon PKR, R. Ramanan, dengan majoriti 2,693 undi.
Selepas kekalahan itu, Khairy menggesa Zahid berundur sebagai Presiden UMNO berikutan prestasi buruk BN yang mencatat keputusan paling lemah dalam sejarah parti itu.
Beliau juga enggan merayu terhadap pemecatannya kerana menganggap tindakan itu sia-sia memandangkan individu yang mahu menyingkirkannya masih berkuasa dalam parti.
Bagaimanapun, pada Julai lalu, Khairy berkata beliau mempertimbangkan tawaran Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, yang mahu membantu memudahkannya kembali ke dalam parti.
Sejak meninggalkan politik, Khairy aktif dalam bidang media dan keusahawanan. Beliau kini menjadi hos bersama audio siar popular Keluar Sekejap bersama Shahril Hamdan, penyampai radio di Hot FM, selain sering dijemput sebagai penceramah dalam pelbagai program dan forum awam.
