KOTA KINABALU: Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyatakan keyakinan bahawa gabungan itu mampu membentuk kerajaan baharu pada tengah malam esok.
Katanya, berdasarkan momentum kempen yang beliau terima, prestasi jentera GRS berada pada tahap yang meyakinkan.
“Daripada apa yang saya perhatikan, kempen-kempen jentera yang dilakukan oleh Parti GRS begitu baik sekali, walaupun nampak ada juga kelemahan di sana-sini.
“Tetapi secara keseluruhannya, saya amat yakin.
“Daripada laporan yang saya terima, insya-Allah kerajaan GRS dapat dibentuk tengah malam besok,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Kempen Rumah Kita, Kita Jaga yang bertempat di Dewan Serbaguna, Kampung Meruntum, di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, kini tibalah masa untuk menyerahkan mandat sepenuhnya kepada rakyat bagi menentukan hala tuju kerajaan negeri.
“Sekarang kita serahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan,” ujarnya.
