KOTA KINABALU: Tindakan Kerajaan Warisan memansuhkan had tempoh Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah pada 2018 terus menimbulkan persoalan apabila Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkannya sebagai langkah yang lebih cenderung kepada kepentingan kuasa berbanding kepentingan rakyat.
Armizan berkata, tindakan memadamkan peruntukan yang menghadkan tempoh TYT kepada dua penggal atau lapan tahun bercanggah dengan prinsip demokrasi matang yang diamalkan kebanyakan negara, yang menetapkan had tempoh jawatan bagi mengelak penumpuan kuasa dalam tempoh terlalu lama.
Katanya, ketika negara lain bergerak ke arah memperkukuh governan, Warisan pula mengambil langkah ke belakang apabila membuang had tempoh itu sebaik sahaja membentuk kerajaan.
“Dalam demokrasi moden, had tempoh penting untuk elakkan kuasa terkumpul pada individu tertentu.
"Tapi Warisan buat keputusan memansuhkan peruntukan itu tanpa alasan jelas. Demi rakyat atau demi kuasa? Ini yang perlu dijelaskan,” katanya.
Armizan berkata, pindaan itu menimbulkan pelbagai persoalan kerana dilakukan dalam suasana politik yang tegang selepas PRN 2018, ketika berlaku pertukaran kerajaan melalui tindakan beberapa ADUN BN yang melompat menyokong Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, walaupun Ketua Menteri sedia ada ketika itu masih belum melepaskan jawatan secara sah.
“Pindaan tergesa-gesa itu membuka ruang kepada spekulasi kononnya ia sebagai ‘tanda terima kasih’.
"Sama ada benar atau tidak, Shafie perlu jelaskan apa keperluan mendesak untuk memadam had tempoh TYT,” katanya.
Beliau berkata, langkah Warisan itu boleh mencetuskan risiko pemusatan kuasa kerana kedudukan TYT sebagai institusi semak dan imbang boleh terjejas sekiranya hubungan antara pihak eksekutif dan Yang di-Pertua Negeri tidak lagi seimbang.
Dalam masa sama, Armizan menegaskan GRS mengambil pendekatan berbeza apabila memutuskan untuk mengehadkan tempoh Ketua Menteri kepada dua penggal berturut-turut atau maksimum 10 tahun, satu usaha yang menurutnya selari dengan prinsip governan baik dan pengurangan kuasa individu.
Katanya, cadangan pindaan itu sudah dipersetujui Jemaah Menteri tetapi hanya boleh dibawa ke Dewan Undangan Negeri selepas GRS memperoleh mandat baharu kerana perubahan Perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga ADUN.
Armizan turut menempelak Warisan yang lantang menentang budaya lompat parti sedangkan sejarah 2018 menunjukkan parti itu turut bergantung pada tindakan ADUN yang melompat bagi membentuk kerajaan.
“Warisan boleh bercakap soal moral politik, tapi sejarah sudah merekodkan siapa yang sebenarnya membuka pintu kepada lompatan demi kuasa,” katanya.
Menurut beliau, rekod pentadbiran Warisan pada 2018 membuktikan slogan ‘Sabah Ubah’ tidak membawa pembaharuan sebenar, sebaliknya lebih banyak keputusan yang dibuat menguntungkan kepentingan politik parti dan individu.
“Rakyat perlu tahu apa yang sebenarnya diubah. Yang berlaku ialah pindaan undang-undang negeri yang tidak memberi nilai tambah kepada rakyat dan pentadbiran negeri.
“Jika kita benar mahu selamatkan Sabah, kita perlu elak episod lalu daripada berulang,” katanya sambil menggesa pengundi memberikan mandat kepada GRS untuk meneruskan agenda reformasi yang lebih jelas.
