TAWAU: Semua calon yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan mempunyai kekuatan masing-masing, namun Calon Bebas, Hairul Amin Arif menegaskan ia bukan halangan untuknya berjuang meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 nanti.
Menurutnya, Black Wave ditubuhkan sebagai sebuah platform bebas untuk bersuara, tanpa dikawal atau dipengaruhi mana-mana parti politik.
“Suara yang menjadi ‘check and balance’ dalam kerajaan dan ingin membina suatu kepimpinan yang bersih dan bertanggungjawab.
“Kita mahu politik yang adil, stabil dan bermaruah,” katanya kepada Sayang Sabah, hari ini.
Hairul berpendapat bahawa sebagai calon bebas yang memperjuangkan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Sabah akan terus diberikan keutamaan dalam penyediaan dana khususnya bagi memenuhi keperluan asas negeri.
“Kembalikan apa yang dipersetujui, tunaikan apa yang dijanjikan serta hormati apa yang ditandatangani,”jelasnya.
Menurut Hairul, beliau percaya perjuangannya tidak akan berdepan sebarang halangan daripada mana-mana pihak.
Katanya, idea dan inspirasi daripada Presiden Black Wave, Datuk Verdon Bahanda turut mempengaruhi hala tuju kempen mereka di Kukusan.
“Antara program yang telah kami jalankan adalah Ceramah Kelompok di setiap kampung, Walkabout di kawasan DUN Kukusan dan insyaAllah pada 23 nanti kami akan mengadakan Fun Run Blackwave di Kompleks Sukan Tawau,” tambahnya.
Ketika ditanya mengenai keyakinannya untuk menewaskan penyandang majoriti DUN Kukusan pada PRN-16 lalu, Datuk Rina Jainal, Hairul tetap optimis terhadap peluangnya.
“InsyaAllah, walaupun terdapat 10 penjuru di DUN Kukusan, saya yakin dengan sokongan yang semakin meningkat setiap hari terhadap perjuangan Black Wave, kami mampu untuk meraih kepercayaan warga Kukusan untuk memberi mandat menjadi wakil rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, lebih 50 peratus pengundi terdiri daripada golongan belia yang mahukan calon mampu memperkasa ekonomi, dengan pengalaman yang ada, beliau yakin dapat meraih kepercayaan mereka pada PRU Sabah kali ini.
