![]() |
PAPAR: Keupayaan Tan Sri Anifah Aman membina jaringan diplomatik di peringkat antarabangsa menjadi faktor utama yang mendorong beliau kembali menawarkan diri untuk merebut semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Menurut laporan MalaysiaGazette, walaupun tidak lagi memegang portfolio Menteri Luar, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu masih mengekalkan hubungan akrab dengan pemimpin berpengaruh dari Amerika Syarikat (AS), Arab Saudi, Qatar dan Oman.
“Saya dapat kuota daripada Raja Saudi dan juga Menteri Luar Saudi. Alhamdulillah setiap setahun ada yang saya naikkan (pengundi) tunaikan haji antara sembilan ke sepuluh jemaah, malah ada kalanya berbelas orang.
“Itu satu keistimewaan, sedangkan ada dalam kalangan mereka ini perlu menunggu sampai 2061.
“Ada juga kebaikannya, tetapi asasnya sekiranya saya diperlukan, saya akan balik ke kawasan,” katanya ketika ditemui selepas beramah mesra dengan pengundi di sekitar pekan Bongawan, pada Jumaat.
Anifah turut menegaskan bahawa tiada calon lain di Bongawan yang memiliki pengalaman diplomasi luar negara sepertinya.
“Apa yang saya maksudkan kalau ada keperluan, tiada seorang pun mempunyai pengalaman dan hubungan yang ada pada saya dan ini saya gunakan kelebihan ini untuk Bongawan.
“Kalau kita tengok calon-calon yang ada, sebahagian mereka dari segi akademik, peguam dan sebagainya, tapi tiada seorang yang mempunyai pengalaman seperti saya (hubungan luar negeri),” jelasnya.
Menjawab dakwaan kononnya beliau mengabaikan kebajikan rakyat Bongawan sejak tidak lagi menjadi wakil rakyat selepas PRN Sabah ke-16, Anifah menyifatkan tuduhan itu tidak berasas.
“Sejak saya jadi ahli Parlimen tiga penggal di Kimanis, saya lihat bahawa saya perlu tumpukan masa di kawasan dan ramai yang juga bersuara bahawa seolah-olah saya tidak mengambil kira tentang keadaan dan kedudukan rakyat di Bongawan.
“Ramai yang salah faham, saya tidak pernah kalah pilihan raya Parlimen sini (Kimanis), saya telah dihalau keluar, antaranya kerana saya tak mahu menyertai mana-mana parti, ketika itu saya masih Ahli Parlimen (Kimanis).
“Saya ditawarkan jawatan dan sekarang mereka boleh menafikan, tapi tuhan jadi saksi dan saya katakan tidak, saya mahu tinggal di Sabah.
“Ada juga baru-baru ini saya ditawarkan untuk Washington sebagai Duta Besar yang mempunyai status seperti Menteri supaya boleh mendampingi Amerika Syarikat,” tambahnya.
Anifah kini memperkukuh kempen di Bongawan dengan keyakinan bahawa pengalamannya di pentas global mampu diterjemahkan kepada manfaat yang lebih besar untuk rakyat di kawasan itu.
