PRN Sabah: Kukusan saksikan pertembungan dua beradik



TAWAU: Kerusi DUN Kukusan mencuri tumpuan Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 apabila menyaksikan pertembungan unik dua adik-beradik di gelanggang sama, masing-masing mewakili parti berbeza.

Calon Parti Warisan (WARISAN), Ma’Mun Sulaiman, yang sebelum ini pernah bertanding di Parlimen, menekankan kepentingan pilihan raya kali ini untuk rakyat Sabah.

“Kita WARISAN berniat besar untuk memperjuangkan nasib Sabah, negeri yang masih ketinggalan dari segi pembangunan.

“Persaingan dengan kakak saya bukan masalah kerana kami tetap menghormati ideologi masing-masing,” katanya.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN), Chaya Sulaiman, pula menegaskan bahawa persaingan politik tidak menjejaskan hubungan kekeluargaan.

“Ramai bertanya mengenai pertandingan saya dengan adik saya. Persaudaraan tetap utuh. Kita bawa panji masing-masing, tetapi hubungan keluarga tidak terjejas,” katanya.

Chaya menambah pengalamannya berkhidmat di kawasan DUN Kukusan menjadi faktor utama pencalonan semula beliau.

“Walaupun kalah 10 undi pada pilihan raya lalu, itu tidak melemahkan semangat saya. Saya terus bekerja di kawasan, dan usaha itu diiktiraf kepimpinan parti,” katanya.

Selain dua beradik ini, DUN Kukusan menyaksikan pertarungan sengit 10 penjuru termasuk penyandang Datuk Rina Jainal (Bebas), Ab Rahman Yahya (STAR), Samsiah Usman (GRS), Mariani Sulaiman (Parti Anak Negeri), Razik Muyong (Parti Impian Sabah), Ishak Ismail (Parti Perpaduan Rakyat Sabah), Francis Lawrence @ Yusof (PN) dan seorang lagi calon Bebas, Hairul Amin Arif.

Dengan senarai calon lengkap, DUN Kukusan dijangka menjadi antara kerusi paling hangat di Parlimen Kalabakan, bukan sahaja kerana persaingan antara parti politik, tetapi juga kerana pertembungan dua adik-beradik yang menarik perhatian pengundi menjelang hari pengundian.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama