KOTA KINABALU: Suasana di pekarangan Dewan Maksak Likas hari ini dimeriahkan oleh kehadiran lebih 2,000 penyokong yang turun memberi sokongan kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Darau, Datuk Mohamed Razali Razi@Bob, sejurus proses penamaan calon PRU Sabah Ke-17 selesai berlangsung.
Kehadiran itu menggambarkan penantian dan kesetiaan penyokong yang telah menunggu selama tiga tahun untuk melihat Razali menjadi calon rasmi di Darau.
Dalam sidang media sejurus selepas penamaan calon, Razali menyatakan rasa syukur atas kelancaran proses tersebut dan memuji kerja teratur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau menegaskan bahawa pertandingan enam penjuru tidak menggugat keyakinan GRS kerana strategi perjuangan telah dirangka dan dilaksanakan secara berterusan sejak tiga tahun lalu.
“Apa yang kamu lihat hari ini hanya 10 peratus daripada penyokong sebenar. Kami sangat yakin bahawa pada 29 haribulan nanti, GRS akan mencapai kemenangan,” katanya.
Mengulas isu beberapa ahli Gagasan Rakyat yang bertanding sebagai calon bebas atau mewakili parti lain, Razali yang juga Setiausaha Agung Gagasan Rakyat menegaskan bahawa tindakan disiplin telah pun dikeluarkan.
Menurutnya, keahlian mana-mana individu yang bertindak demikian akan gugur secara automatik.
Antara nama yang dikenal pasti melalui sumber media sosial ialah Datuk Roland Chia (Inanam), Datuk Fairuz Renddan (Pintasan) dan Datuk Maijol Mahap (Bandau).
“Ini proses demokrasi. Mereka bertanding di kawasan yang bukan kita tandingi. Namun tindakan parti tetap jelas, selaras dengan pendirian PH,” tegasnya.
Ditanya mengenai jumlah kehadiran penyokong, Razali menyatakan bahawa sekitar 2,000 orang hadir menunjukkan sokongan dan semangat luar biasa.
“Mereka semua excited. Tiga tahun menunggu. Lama kamu tunggu kan,” katanya sambil menekankan bahawa sokongan itu adalah hasil kerja konsisten jentera GRS di Darau.
Razali turut menambah bahawa budaya kesatuan dan kerja berpasukan adalah asas kekuatan gabungan tersebut.
“Semua satu hati. Datuk Razali Razi must go for it. Ini bukan usaha individu, ini usaha semua,” katanya.
Dalam menjawab soalan berkaitan agenda perjuangannya di Darau, Razali menggariskan beberapa fokus utama.
Antara keutamaan adalah penubuhan Majlis Pembangunan dan Pengurusan Kampung dan Taman, satu struktur rasmi yang bakal memperkukuh sistem komunikasi, meningkatkan ketelusan dan memastikan koordinasi antara kepimpinan kampung, taman, serta NGO berjalan lebih tersusun.
Majlis itu juga akan dipantau melalui Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya.
Selain itu, pembangunan belia turut diberi penekanan di mana Razali merancang mewujudkan pusat belia di setiap kampung sebagai ruang pembangunan sahsiah, aktiviti dan latihan.
Beliau turut memfokuskan aspek ekonomi melalui penyediaan lebih banyak kursus keusahawanan khusus untuk belia Darau bagi mempertingkat kemahiran serta keupayaan ekonomi mereka.
