Pertembungan PH-GRS di Kemabong, Moyog tidak jejas kerjasama - Phoong

KOTA KINABALU: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah, Datuk Phoong Jin Zhee berpendapat bahawa pertembungan antara parti kerajaan di kerusi Kemabong dan Moyog tidak menjejaskan hubungan dalam gabungan kerjasama tersebut. 

Menjawab soalan mengenai pertandingan melibatkan Pakatan Harapan (PH) dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di dua kawasan berkenaan, Phoong menegaskan bahawa situasi itu bukan tanda keretakan hubungan antara PH, GRS dan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, landskap politik Sabah pada era ini jauh berbeza daripada sistem dua blok, sekali gus menjadikan pertandingan sesama parti mesra sebagai perkara biasa.

“Ini bukan isu perhubungan retak atau tidak. Ini demokrasi. 

“Setiap parti ada keyakinan sendiri, ada calon yang mereka percaya dan ada rekod prestasi yang mahu mereka tawarkan,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman penamaan calon di Dewan Menara Hasil, di sini, hari ini. 

Menurutnya, tumpuan utama bagi mana-mana parti adalah menawarkan calon terbaik kepada rakyat, bukan bergantung kepada formula ‘satu lawan satu’ seperti politik lama.

“Pertandingan ini bukan soal ‘friendly match’ atau tidak. Ini pertandingan idea. Rakyat akan pilih calon yang paling berkualiti, paling kompeten dan paling berwibawa,” jelasnya.

Sementara itu, PRU DU Sabah ke-17 kali ini bakal menyaksikan pertembungan sengit dengan saingan 12 penjuru di DUN Moyog, manakala DUN Kemabong mencatatkan pertarungan sembilan penjuru.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama