PRN Sabah: Bung Moktar dakwa jadi sasaran tumbangkan BN

 

KOTA KINABALU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengakui beliau kini menjadi sasaran beberapa pihak yang mahu melihatnya rebah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Bung Moktar yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag berkata, beliau dimaklumkan bahawa lawan politiknya sudah menggerakkan jentera secara besar-besaran untuk memastikan dirinya tewas di kerusi itu.

Namun kali ini, katanya, serangan politik yang digambarkan sebagai “panahan” terhadap dirinya lebih agresif, tetapi beliau tetap tidak goyah dan yakin BN mampu bertahan di Lamag serta 44 kerusi lain.

“Selaku Pengerusi BN Sabah dan Ketua UMNO Sabah, memang semua panah itu ditujukan kepada saya.

"Insya-ALLAH, saya yakin pengundi Lamag akan terus menyokong BN kerana saya sudah mencurahkan usaha sepenuhnya, jentera pun sudah siap di semua kawasan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

DUN Lamag yang terletak dalam Parlimen Kinabatangan terus menjadi tumpuan panas pada PRN kali ini, dengan isu pembangunan asas dan taraf hidup penduduk luar bandar dijangka menjadi penentu sokongan.

PRN Sabah ke-17 bakal menyaksikan persaingan enam penjuru di Lamag, membabitkan calon BN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan Sabah (Warisan), Bebas, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Impian Sabah (PIS).

Terletak kira-kira 316 kilometer dari Kota Kinabalu, Lamag bukan sahaja dianggap kubu kuat Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, tetapi menjadi medan ujian sebenar kekuatan BN di pantai timur Sabah.

Sebagai salah satu daripada 13 kerusi baharu hasil persempadanan semula pada PRN lalu, kawasan pedalaman itu terus berdepan cabaran pembangunan termasuk jalan tidak berturap, capaian internet terhad dan peluang pekerjaan yang tidak seimbang isu yang akan menguji sejauh mana pengundi mahu mengekalkan BN di Lamag.

Terdahulu, PRN ke-16, Bung Moktar berjaya mempertahankan Lamag dalam saingan lima penjuru dengan majoriti 661 undi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama