GRS kehilangan dua tahun disebabkan ada Menteri Kerja Raya gagal - Armizan


TAWAU: Dakwaan Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa Kerajaan GRS adalah 'kerajaan paling gagal di dunia' disifatkan sebagai tuduhan yang memakan diri apabila rekod beliau sendiri sebagai Menteri Kerja Raya Sabah didakwa menjadi punca kelembapan pembangunan negeri.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata GRS sebenarnya kehilangan dua tahun penting dalam tempoh pentadbiran 2021 hingga 2022 kerana terpaksa berdepan kegagalan Bung mengurus kementerian tersebut, sehingga menyekat pelaksanaan projek asas yang sudah lama dirancang.

Armizan berkata, sepanjang dua tahun Bung mengetuai KKR Sabah, tiada satu pun projek utama penstabilan bekalan air dimulakan walaupun telah berada dalam perancangan kerajaan.

"Sebagai contoh Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 2 di Tawau yang hanya mula dilaksanakan pada 22 Julai 2025 selepas Bung tidak lagi memegang jawatan.

"Projek Naik Taraf LRA Kogopon di Papar pula hanya dapat digerakkan pada Ogos 2023, sebaik Datuk Shahelmy mengambil alih kementerian," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua projek itu membuktikan ketidakupayaan Bung kerana penggantinya mampu menggerakkan projek terbabit dalam tempoh singkat.

Armizan turut menegaskan bahawa tuduhan Bung mengenai kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan isu elektrik juga tidak berasas kerana kuasa kawal selia elektrik baru diserahkan kepada Sabah pada 3 Januari 2024 selepas lebih 40 tahun dikuasai Kerajaan Persekutuan.

Malah katanya, ketika Bung masih dalam kerajaan, dua Ketua UMNO Bahagian dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah SESB hasil cadangannya sendiri, walaupun elektrik bukan bidang kuasa KKR.

Namun, katanya, wakil-wakil UMNO tersebut gagal menunjukkan sebarang pencapaian dalam menangani krisis bekalan elektrik yang berlaku ketika itu.

Beliau berkata, ironi terbesar ialah selepas Bung dan UMNO tidak lagi berada dalam kerajaan negeri, barulah pelbagai projek penstabilan air dan elektrik dapat digerakkan termasuk Projek Rangkaian Grid Pantai Timur Southern Link Fasa 1 yang bermula pada 2024.

Menurut Armizan, perkembangan itu menjelaskan kenapa tuduhan Bung terhadap GRS tidak lebih daripada percubaan menutup kegagalan sendiri.

“Takdir Tuhan menentukan Bung sebagai ‘Menteri Gagal’ keluar dari Kerajaan Negeri, dan sejak itu banyak projek penstabilan air dan elektrik mula berjalan.

"Ini menggambarkan tuduhan Bung sebagai ibarat meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama