Hajiji yakin rundingan isu 40 peratus Sabah akan selesai dalam tempoh ditetapkan

KOTA BELUD: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yakin isu pembayaran hak 40 peratus hasil negeri Sabah kepada kerajaan negeri akan diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah, iaitu 90 hari.

Menurutnya, rundingan teknikal kini sedang berlangsung antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, membabitkan pegawai kanan termasuk setiausaha kerajaan negeri dan ketua setiausaha perbendaharaan.

“ini adalah macam agak teknikal sedikit. Jadi perincian itu saya tidak dapat jelaskan sekarang ini.

Jadi kita tunggulah. Mereka mungkin berbincang bukan satu kali mungkin berkali-kali baru kita capai satu persetujuan,” jelas Hajiji ketika dijumpai oleh pemberita selepas Kempen Jelajah Rumah Kita, Kita Jaga Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Usukan dan DUN Tempasuk, di Dewan Datuk Japlin Hj. Akim, hari ini. 

Menurutnya, kerajaan negeri masih menunggu makluman rasmi daripada kerajaan Persekutuan mengenai jumlah hasil sebenar yang dipungut di Sabah dan agihan peruntukan di bawah klausa 40 peratus.

“Kita pun tidak tahu berapa hasil yang dipungut daripada negeri Sabah secara jelas dan ini yang kita minta, pihak persekutuan maklumkan dan agihan peruntukan apa yang dibawah 40 peratus apa yang menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan kepada negeri Sabah,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri komited untuk memastikan pembayaran hak 40 peratus ini berjalan lancar demi kepentingan rakyat Sabah, dan yakin ia dapat diselesaikan mengikut jadual.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama