KOTA KINABALU – Manifesto utama Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini memberi fokus kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), terutamanya dana 40 peratus hasil negeri akan digunakan untuk menyelesaikan isu tiga serangkai yang sering menjadi kerisauan rakyat.
Pengerusi PH Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, dana tersebut bukan sekadar untuk menyelesaikan isu lama, tetapi turut menjadi asas kepada pembangunan pengangkutan awam moden yang lebih terancang.
“Infrastruktur seperti sistem paip air dan pembetungan perlu dinaik taraf. Itu pasti.
“Namun kita percaya pada masa sama, pembinaan sistem pengangkutan awam mesti dirancang dan dibangunkan sekarang.
“Ini ialah masa terbaik untuk kita bukan sekadar menuntut hak 40 peratus hasil, tetapi memastikan dana itu dimasukkan ke dalam dana kedaulatan (sovereign fund) dan digunakan mengikut perancangan yang dibuat,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Komitmen PKR Sabah yang bertempat di Dewan Kimanis, Hotel Hyatt Regency, di sini, pada Ahad.
Mengulas mengenai dakwaan 40 peratus itu boleh menyebabkan kerajaan muflis, beliau menyifatkannya sebagai tuduhan yang tidak berasas.
“Isu muflis ini tidak timbul kerana ia berdasarkan rundingan yang sudah berlangsung lama. Perbezaannya ialah komitmen kerajaan kini untuk benar-benar melaksanakan MA63,”ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, seiring dengan penstrukturan semula infrastruktur melalui dana 40 peratus itu bakal memperkenalkan sistem rel ringan (LRT) di Kota Kinabalu.
Menurutnya, pengangkutan awam moden mesti dibangunkan demi memastikan Kota Kinabalu berkembang sebagai bandar yang mampan, mesra penduduk serta menarik lebih ramai pelancong.
“Kota Kinabalu ialah bandar yang popular dan boleh didiami. Sudah tiba masanya kita memperkenalkan sistem rel ringan Kota Kinabalu untuk merancakkan sektor pelancongan serta membangunkan bandar ini sebagai sebuah ‘livable city’,”katanya.
Beliau turut menegaskan sistem bas awam baharu yang akan beroperasi tahun depan adalah fasa pertama sebelum pembinaan rel dilakukan.
“Selepas sistem bas awam, kita perlu merancang sistem rel. Sebenarnya kita sudah ada kereta api, tetapi ia tidak lagi mengikuti keperluan semasa. Sudah tiba masanya kita menyediakan sistem rel yang lebih baik demi kemudahan rakyat KK serta pelancong,”tambahnya.
Sementara itu, parti itu turut mencadangkan lima manifesto tambahan iaitu pembentukan Reformasi Pentadbiran Sabah bagi meningkatkan kecekapan dan penstrukturan semula kabinet dan menyediakan peluang pekerjaan dengan gaji yang setimpal kepada generasi belia.
Seterusnya, Pemerkasaan ekonomi nilai tinggi dan agenda pemerkasaan wanita dengan meletakkan 30 peratus pemimpin wanita dalam kabinet serta Sabah maju bersama MADANI sebagai pemain serantau di antara kerajaan pusat dan negeri.
