![]() |
| Datuk Mohd Arsad Bistari menerima dokumen borang keahlian daripada wakil ahli-ahli baharu, Jaipin Yasap. |
KOTA BELUD: Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari menerima kemasukan 100 ahli baharu dari Mukim Rosok, sekali gus mengukuhkan sokongan akar umbi parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17.
Arsad berkata pertambahan keahlian tersebut mencerminkan penerimaan semakin positif rakyat terhadap dasar dan polisi yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor sepanjang lima tahun lalu.
“Kemasukan ahli baharu dari Mukim Rosok ke dalam Gagasan Rakyat Tempasuk adalah petanda jelas keyakinan rakyat terhadap dasar-dasar Datuk Seri Hajiji Noor sepanjang tempoh lima tahun ini,” katanya.
Arsad, yang mempertahankan kerusi Dun Tempasuk, turut menyeru pengundi di Sabah—terutamanya di kawasannya—supaya meletakkan kestabilan politik sebagai keutamaan semasa membuang undi pada 29 November.
“Saya menyeru pengundi di Sabah, khususnya di Tempasuk, untuk menjadikan kestabilan politik sebagai asas dalam membuat pilihan kerana GRS adalah wadah yang paling menepati keperluan ini,” katanya sambil menambah bahawa gabungan itu kekal komited menyatukan pemimpin demi manfaat jangka panjang negeri.
Beliau menegaskan bahawa kestabilan yang dicapai selama ini telah membolehkan rakyat Sabah menikmati limpahan ekonomi, meskipun ada parti komponen GRS sebelum ini tidak memiliki kerusi Dun.
Kesemua 100 penduduk Rosok itu menyertai Gagasan Rakyat secara rasmi dalam satu majlis penyerahan borang keahlian di pusat daerah mengundi Rosok pada Sabtu.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tempasuk yang juga bekas Adun Tempasuk, Datuk Musbah Jamli.
