Felo SMJ buka ruang belia sertai pembangunan negeri

 

Kesemua 42 peserta Program Felo SMJ 4.0 merakamkan gambar kenangan bersama Hajiji (duduk tengah) sejurus menerima watikah pelantikan dan penempatan masing-masing.

KOTA KINABALU: Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) terbukti menjadi platform berkesan dalam melahirkan barisan pemimpin muda Sabah yang berwibawa serta berpeluang menyumbang terus kepada ekosistem pembangunan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kejayaan program itu jelas memperlihatkan keupayaan anak muda Sabah untuk berkembang dan memainkan peranan aktif dalam pentadbiran serta dasar kerajaan negeri.

"Program Felo SMJ bukan hanya membina pengalaman, tetapi membentuk jati diri, integriti dan ciri-ciri kepimpinan unggul. Ia selaras dengan komitmen kerajaan negeri di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang menekankan pembangunan modal insan sebagai nadi utama kemajuan negeri," katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan kepada 42 anak muda yang menyertai program Felo SMJ 4.0 di Menara Kinabalu, pada Isnin.

Menurut beliau, kerajaan negeri mahu melahirkan pemimpin bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu dan kemahiran, tetapi juga pemimpin berjiwa rakyat yang mampu menyelami denyut nadi komuniti serta membawa suara rakyat ke meja dasar.

"Harapan saya agar para felo menjadi sumbu perubahan, mempamerkan kepimpinan yang ikhlas, berani dan berpandangan jauh demi Sabah yang lebih maju, bersatu dan berjaya," jelasnya.

Hajiji turut menyeru peserta menggunakan tempoh penyertaan sebagai medan membina disiplin, empati, wawasan dan keberanian dalam kepimpinan.

"Gunakan peluang ini untuk memahami dunia sebenar pentadbiran kerajaan negeri, bagaimana dasar digubal dan keputusan dibuat untuk rakyat. Letakkan integriti sebagai teras diri, dan buktikan bahawa anak muda mampu mengemukakan idea bernas serta solusi berani," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakam penghargaan kepada semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengambil bahagian dalam program tersebut kerana komited dalam menyokong pembangunan modal insan negeri.

Jelasnya, sebanyak 20 GLC terlibat dalam Felo SMJ 4.0, meningkat berbanding hanya 10 GLC sebelum ini, satu perkembangan yang menggambarkan kesepakatan erat antara kerajaan negeri dan sektor korporat dalam melahirkan pelapis kepimpinan muda Sabah.

Beliau turut menyatakan rasa bangga apabila ramai peserta Felo SMJ ditawarkan peluang pekerjaan oleh GLC masing-masing selepas tamat program.

"Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua felo. Jadikan pengalaman ini sebagai langkah awal perjalanan kepimpinan yang memberi manfaat kepada rakyat dan negeri," tambahnya.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Asun; Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Aidah Awang serta Presiden Majlis Belia Sabah, Abqaree Fawazz Abekan.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama