40 peratus hasil Sabah: Putrajaya putus tidak rayu, rundingan dimulakan segera


PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil yang diperoleh dari Sabah, hari ini.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata susulan keputusan terbabit, Kerajaan Persekutuan akan segera memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Sabah.

Kenyataan itu menjelaskan keputusan berkenaan dibuat melalui Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang diadakan hari ini bagi membincangkan berkenaan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu.

"Jabatan Peguam Negara memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil," jelas dalam kenyataan itu.

Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan, selepas menerima nasihat Peguam Negara, akan membuat rayuan terhadap kecacatan dalam alasan penghakiman bagi kes berkenaan.

Berdasarkan kenyataan itu, Peguam Negara turut memberikan nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman berkenaan.

"Antaranya dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan. Dakwaan ini bakal membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sejak 1974.

"Selain itu, alasan penghakiman juga menyatakan bahawa Kajian Semula selepas 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran.

"Kerajaan Persekutuan akan merayu berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman berkenaan," menurut kenyataan itu.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama