Anwar seru pengundi muda pilih pemimpin berdasarkan rekod, bukan sentimen

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pengundi muda di Sabah supaya memilih calon dengan menolak sebarang bentuk sentimen perkauman yang dimainkan pihak tertentu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah, Sabtu ini. 

Katanya, rakyat perlu melihat rekod seseorang pemimpin dan tidak mudah terpengaruh dengan pemimpin yang hanya menukar pendirian menjelang pilihan raya.

“Jangan ikut sentimen. Orang boleh tengok rekod seorang (pemimpin). 

“Apalagi kalau dia turun jadi pemimpin. Bayangkan. Parti kecil pun saya lantik. 

“Tapi, kadang-kadang ini. Biasa dah Menteri, cakapnya lain, kerjanya lain. Bila datang pilihan raya, terus pusing. Tak boleh,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Temu Rapat Pemimpin Masyarakat Tempatan dan Usahawan Tuaran yang bertempat di dewan Bajau Samah, di sini, hari ini.

Turut sama hadir, Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Menurut Anwar, rakyat Sabah perlu bijak dalam membuat keputusan, dengan memilih berasaskan rekod dan keupayaan sebenar pemimpin, bukan dipengaruhi emosi atau provokasi.

“Saya mahu rakyat bangkit di Sabah ini. Tentukan masa depan kita. Terutama anak-anak muda. It's your future. 

“Masa depan anda perlu diputuskan oleh diri kamu sendiri. Bukan oleh politik yang terdesak atau sesetengah ahli akademik,”jelasnya. 

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan beliau sentiasa menghormati hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Saya sekali lagi nak sebut dan saya hormat dan sokong, saudara Hajiji. Dia konsisten, dia kata ok, Saya tubuh kerajaan, dia sokong kerajaan persekutuan. 

“Kita bangunkan Sabah, bangunkan Malaysia dan sampai ke hari ini dia tidak berganjak daripada pendirian itu,”tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama