Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ketetapan terbabit juga termasuk penyertaan bersama gabungan parti lain, dimana hierarki pemimpin itu dalam parti harus menjadi keutamaan.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan perkara terbabit hanya akan diputuskan sekiranya BN memenangi banyak kerusi yang ditandingi selepas PRN17 kelak.
"Kita mempunyai kesepakatan dan kerjasama di semua kerusi yang ditandingi oleh BN dan juga Pakatan Harapan (PH).
"Kita telah membuat keputusan bahawa apabila kita memenangi kerusi yang banyak, kita akan membuat cara syura untuk menentukan calon Ketua Menteri.
"Tentunya kita meyakini bahawa hierarki (kedudukan pemimpin dalam parti) itu harus diberikan keutamaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Manifesto BN bertempat di Bangunan UMNO Sabah, di sini, hari ini.
