GRS dijangka raih kerusi terbanyak, ketuai rundingan tubuh kerajaan - Ilham Centre


KOTA KINABALU: Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah Ke-17 dijangka memihak kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila kajian akhir Ilham Centre mendapati gabungan itu berada di landasan terbaik untuk meraih kerusi terbanyak dan seterusnya mengetuai rundingan bagi membentuk kerajaan baharu.

Dalam laporan dikeluarkan hari ini, Ilham Centre menyatakan GRS berpotensi membawa pulang sekitar 26 kerusi daripada 55 kerusi yang ditandingi, sekali gus muncul kumpulan politik terbesar berbanding parti lain.

Menurut laporan itu, kelebihan GRS didorong faktor penyandang, kekuatan jentera, dan imej Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang disifatkan pengundi sebagai tenang, stabil dan boleh dipercayai.

“GRS berjaya kekalkan sokongan terutama di kawasan pantai barat, selain kempen bertema kestabilan yang mudah melekat dalam kalangan pengundi,” menurut kenyataan itu.

Kajian itu turut menunjukkan Hajiji mendominasi pilihan pengundi sebagai Ketua Menteri, dengan 63 peratus responden berpuas hati terhadap prestasi kerajaan negeri yang dipimpinnya, manakala 62 peratus berpuas hati terhadap prestasi beliau sendiri.

Ilham Centre menyifatkan faktor peribadi Hajiji sebagai pemimpin “steady” menjadi penguat utama sokongan kepada GRS.

Warisan dijangka kekal di kubu tradisi pantai timur dan mampu menggandakan kemenangan jika berlaku ayunan undi di kawasan bandar. Namun parti itu masih bergantung kepada situasi sengit di beberapa kerusi tumpuan.

BN pula diramal memperoleh sembilan kerusi, manakala PH dijangka hanya mengekalkan empat kerusi sedia ada.

Sebanyak 13 kerusi disebut sebagai ‘super sengit’, yang boleh berpihak kepada mana-mana calon, termasuk calon bebas yang mempunyai pengaruh kuat di kawasan masing-masing.

Naratif berkaitan hak Sabah seperti tuntutan 40 peratus hasil, MA63, autonomi negeri dan identiti Sabah menjadi pemacu emosi paling kuat dalam PRN kali ini.

Menurut Ilham Centre, 77 peratus responden menyokong kuat tema kempen berunsur Sabah First, Rumah Kita, Kita Jaga dan Justice for Sabah, menjadikan isu pro-Sabah lebih menguasai perhatian pengundi berbanding isu nasional.

Kajian turut merekodkan perubahan ketara dalam kalangan pengundi Cina dan KDM bandar, terutamanya di kawasan Likas, Luyang, Inanam dan Api-Api, dengan mood penolakan terhadap PH semakin ketara.

“Jika mood ini kekal, beberapa kerusi bandar termasuk kerusi DAP dan PKR berada dalam keadaan genting,” katanya.

Walaupun ramai menunggu angin perubahan daripada pengundi muda, Ilham Centre mendapati pola undi segmen itu berpecah dan tidak menghala kepada mana-mana parti secara jelas.

Sebanyak 16 peratus masih belum membuat keputusan sehingga hari-hari akhir, menandakan tiada gelombang besar dari anak muda untuk PRN kali ini.

Menurut Ilham Centre, peratusan keluar mengundi yang rendah dijangka memberi kelebihan kepada parti penyandang, sekali gus menguatkan lagi kedudukan GRS.

“Dengan jentera tersusun, calon penyandang dan sokongan stabil terhadap Hajiji, GRS berada di laluan terbaik untuk mencapai majoriti mudah,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama