Pemuda PGRS Bongawan persoal janji Mohamad Alamin masih belum tertunai hampir dua penggal

 

BONGAWAN: Kewibawaan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Bongawan, Datuk Mohamad Alamin perlu dipersoal selepas hampir dua penggal sebagai Ahli Parlimen Kimanis, pembangunan di kawasan ini masih tidak menepati harapan rakyat.

Ketua Pemuda PGRS Bongawan, AK Jamaluddin Pg Mohd Yassin berkata, kegagalan itu jelas apabila janji beliau mewujudkan Mini Stadium Kimanis dan Kolej Komuniti Kimanis semasa kempen PRK Parlimen Kimanis tahun 2020 lalu juga belum ditunaikan.

 Katanya, walaupun kedua-dua projek itu dijadikan antara agenda utama untuk memperkasa golongan muda, realitinya selepas hampir lima tahun, penduduk Kimanis dan Bongawan masih menunggu janji yang tidak kunjung tiba. 

"Mini stadium Kimanis dijanjikan tidak pernah dibina, manakala Kolej Komuniti Kimanis yang diluluskan semasa Tan Sri Anifah Aman sebagai Ahli Parlimen Kimanis sebelum ini pula, tiada tindakan susulan Mohamad hingga tidak dapat diwujudkan.

“Bagaimana mahu percaya janji pembangunan yang akan dibawa selepas ini, sedangkan rekod lepas menunjukkan kegagalannya menunaikan janji kepada belia sebagai kumpulan paling dijanjikan peluang dan perubahan.

"Inilah perbezaan antara pemimpin 'trend setter' seperti Tan Sri Anifah Aman yang merupakan calon GRS Bongawan berbanding Mohamad sebagai anak didik beliau namun tidak mempunyai kemampuan memenuhi keperluan di Bongawan.

"Justeru, bagaimana mahu menjadi wakil rakyat Bongawan selepas ini, kalau sebagai Ahli Parlimen Kimanis pun pembangunan di Bongawan masih 'hambar', ditambah lagi dengan beban tugas sebagai Timbalan Menteri Luar," tegasnya dalam satu kenyataan.

AK Jamaludin mendakwa, atas dasar itu majoriti rakyat termasuk ahli-ahli Umno Kimanis sendiri beranggapan Mohamad 'tamak' kerana masih mahu menjadi wakil rakyat Bongawan sedangkan peluang itu wajar diberikan kepada pemimpin muda lainnya.

Dalam pada itu katanya, Mohamad sebenarnya juga boleh berbakti untuk Bongawan menerusi kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Kimanis yang turut merangkumi kerusi kawasan itu tanpa perlu menjadi wakil rakyat Bongawan.

"Sedangkan janji dan kerja sebagai Ahli Parlimen Kimanis pun beliau belum sempat disiapkan malah masih banyak janji belum ditunaikan, takkan mahu tambah lagi dengan jadi wakil rakyat Bongawan?.

“Sebagai Ahli Parlimen Kimanis pun beliau sudah boleh bantu Bongawan, termasuk Membakut, jadi kenapa perlu lagi jadi wakil rakyat Bongawan. Sikap tamak selalu merugikan. 

"Biarlah orang lain yang jauh lebih berpengalaman dan mempunyai lebih banyak masa serta hubungan (Anifah) untuk bantu tanpa tidak perlu jadi MP dan Adun, sedangkan dulu Tan Sri Anifah sebagai MP Kimanis pun beliau memiliki dua ADUN berbeza untuk bantu kawasan,"jelasnya. 

AK Jamaludin berkata, kegagalan Ahli Parlimen Kimanis itu bukan melibatkan rekod lalu dan projek besar saja tetapi juga perkembangan pada masa kini antaranya isu sisa kedai lama terbakar di Pekan Bongawan.

 Menurutnya, keadaan tapak dan sisa kedai lama yang terbengkalai itu jelas menjadi simbol kelemahan pengurusan dan ketidakpedulian beliau terhadap keadaan sebenar di lapangan.

Daripada situasi ini menurut beliau, Mohamad dilihat tidak mempunyai kemampuan untuk merancang, melobi atau memastikan sebarang projek pembangunan dapat direalisasikan, walaupun kecil. 

"Dengan rekod prestasi lemah, kegagalan menunaikan janji kepada belia, serta ketiadaan usaha menyelesaikan isu asas di kawasan sendiri, menunjukkan beliau sebagai calon tidak layak diberi mandat pada PRU17," ujar beliau. 

AK Jamaludin menegaskan, kekurangan Mohamad itu bertambah jelas apabila terus menggunakan 'talian hayat' mengharap kehadiran kepimpinan tertinggi Umno Pusat untuk terlibat dalam kempen di Bongawan.

Jelasnya, situasi itu menunjukkan beliau hanya berharap bantuan pemimpin Semenanjung daripada keupayaan diri sendiri dan jenteranya yang terdiri daripada masyarakat Bongawan.

“Kebergantungan beliau terhadap pemimpin BN Pusat dilihat sebagai bukti jelas beliau tidak ada keyakinan terhadap jenteranya sendiri yang terdiri daripada anak-anak tempatan tanpa 'penyelamat' dari Semenanjung.

“Perkembangan ini juga ibarat satu 'tamparan' kepada autonomi politik Sabah yang sekian lama memperjuangkan hak dan maruah di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pada masa sama, menunjukkan seolah-olah Sabah khususnya Bongawan sudah ketandusan pemimpin hingga perlu bantuan orang luar," tegasnya.

Justeru katanya, rakyat Bongawan mahukan wakil rakyat yang bukan saja mampu bekerja untuk rakyat, tetapi juga seorang patriot dan pejuang sejati MA63 seperti Tan Sri Anifah Aman.

Beliau berkata, perjuangan Anifah menuntut pelaksanaan MA63 telah terbukti sejak dulu walaupun terpaksa melawan 'arus' semasa menjadi Ahli Parlimen Kimanis dan Menteri Luar di era kerajaan BN sebelum ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama