MATUNGGONG: Calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki menegaskan bahawa kawasan ini sudah memenuhi semua kriteria untuk dinaik taraf daripada daerah kecil kepada daerah penuh.
Beliau berkata, sejak 2021 pihaknya telah menyiapkan kajian lengkap bagi cadangan menaik taraf Matuggong dan berharap kerajaan akan meluluskan permohonan tersebut demi kebaikan masyarakat setempat.
“Ini adalah impian yang kita inginkan untuk kawasan Matunggong sebab kita sudah lama membuat permohonan ini.
Jadi sudah beberapa kali juga saya susuli dan saya berharap kali ini dalam tempoh penggal yang akan datang ini, kawasan ini boleh dinaik tarafkan sebagai sebuah daerah penuh demi kebaikan masyarakat akyat di kawasan Matunggong,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Mega Jelajah PRU Sabah yang bertempat du Dewan Terbuka Matunggong, di sini, hari ini.
Julita turut menambah bahawa Matunggong mempunyai semua sumber yang diperlukan untuk menjadi sebuah daerah penuh.
“Ada beberapa kriteria untuk kita penuhi, untuk dipertimbangkan. Salah satunya itu adalah jumlah penduduk.
“Selain daripada itu, kita juga mempunyai sumber bagi kawasan ini. Di sini tidak nampak pekan, tetapi sebenarnya kita sudah ada satu pekan di sebelah sekwati sana yang kita hanya perlu dipertingkatkan lagi kemudahan-kemudahan yang ada di situ.
“Di sini juga kita mempunyai tanah pekan yang agak besar, luas untuk kita jadikan sebagai pusat pentadbiran khusus untuk daerah Matunggong kalau diluluskan,”jelasnya.
Ketika ditanya mengenai sokongan golongan belia, beliau turut menyifatkan pengundi muda sebagai faktor penting dalam pembangunan kawasan.
“Kalau di sini saya berharap yang mereka bersama dengan kamilah dan kita memang agak ada hubungan yang dekat.
“Sejak empat tahun yang lalu, mereka pelajar-pelajar ini sudah biasa dengan kita, lebih kenal kepada kita.
“Kita berharap para pelajar yang sekarang ini mungkin sudah melepasi usia mengundi boleh menyokong kita sebab memang kita serius untuk meningkatkan pencapaian akademik supaya kita juga boleh mengubah corak (Landscape) di Matunggong daripada segi pencapaian dan perubahan pembangunan modal insan di kawasan ini,”katanya.
