![]() |
| Pekerja pelantar minyak ditahan polis selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan dalam kejadian di kawasan Batu 2, Jalan Apas, dekat sini, Mei lalu. Foto | Ihsan PDRM. |
TAWAU: Seorang pekerja pelantar minyak ditahan polis selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan dalam kejadian di kawasan Batu 2, Jalan Apas, dekat sini, Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian itu berlaku selepas mangsa berusia 17 tahun yang masih bersekolah itu keluar rumah kira-kira jam 8.30 malam dengan alasan mahu berjumpa rakan, namun sebenarnya bertemu suspek yang dikenalinya.
“Mangsa mendakwa dibawa menaiki sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna merah ke lokasi kejadian sebelum suspek bertindak merogolnya.
"Mangsa kemudiannya menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebelum laporan polis dibuat," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.
Jasmin berkata, susulan laporan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang kemudian berjaya menahan suspek di kawasan perkarangan Lapangan Terbang Tawau kira-kira jam 1 tengah hari semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek lelaki tempatan berusia 23 tahun bekerja dalam sektor minyak dan gas selain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
"Suspek kini ditahan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, Jasmin menegaskan polis memandang serius kesalahan jenayah seksual, terutama yang membabitkan golongan rentan terutamanya membabitkan kanak-kanak bawah umur.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak serta memantau pergerakan mereka bagi mengelak kejadian tidak diingini.
