SEMPORNA: Tindakan dua lelaki warga asing cuba menyeludup keluar minyak petrol subsidi bernilai lebih RM111,000 ke negara jiran tidak kesampaian apabila mereka dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) dalam satu operasi khas, awal pagi semalam.
Kedua-dua suspek ditahan dalam operasi yang dijalankan antara jam 7.50 malam 3 November hingga 3.45 pagi 4 November di perairan Pulau Boheian dan Tanjung Manimpa selepas pasukan rondaan PPM mengesan dua bot laju mencurigakan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan menemukan 112 gelen berisi minyak petrol yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.
“Dua bot laju bersama dua enjin dan minyak petrol berkenaan dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM111,277.75.
"Kedua-dua suspek warga asing ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rangkaian dan dalang utama sindiket penyeludupan minyak subsidi di perairan berkenaan.
“PPM Wilayah 4 akan terus mempergiatkan rondaan serta risikan bagi membanteras aktiviti penyeludupan yang menjejaskan ekonomi dan keselamatan negara," katanya.
Mohd Nazri turut mengingatkan pihak tidak bertanggungjawab agar tidak mengambil kesempatan terhadap subsidi kerajaan kerana tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.
