STAR tanding 40 kerusi, anak Ellron, Robert tidak tercalon


 
KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mempertaruhkan 40 calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan menekankan pemilihan calon bersih, mampu menang dan berkhidmat kepada rakyat.

Presiden STAR, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, proses pemilihan dibuat secara teliti dan berlapis sebelum jumlah calon itu dimuktamadkan.

Menurutnya, pihaknya sebelum ini menunggu beberapa nama lain, namun pengumuman calon tetap diteruskan mengikut jadual yang dirancang.

“Selepas semakan berlapis, kita kurangkan kepada kira-kira 40 calon sahaja. Ada beberapa lagi yang belum kita umumkan dan akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon,” katanya selepas pengumuman calon STAR di Penampang, hari ini.

Jeffrey berkata, kriteria utama yang menjadi pertimbangan parti ialah calon bebas masalah, bersih dan mempunyai keupayaan untuk menang di kawasan masing-masing.

Difahamkan sebelum ini anak kepada mantan Timbalan Presiden STAR, Datuk Ellron Angin, serta anak kepada mantan Timbalan Presiden II, Datuk Robert Tawik, disebut-sebut bakal diletakkan di kerusi Tulid dan Bingkor.

Bagaimanapun, khabar angin sebelum terjawab selepas anak Ellron, yang juga Ketua Exco Wiramuda STAR, Jordan Jude Ellron, serta anak Robert, Razzidin Robert, yang juga Timbalan Ketua Exco Wiramuda STAR, kedua-duanya tidak tersenarai dalam pengumuman calon kali ini.

“Kita mahu calon yang bersih, boleh menang dan mampu bekerja dengan rakyat serta menunaikan tanggungjawab,” tegasnya.

Beliau berkata, calon-calon turut diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan menjaga integriti sepanjang berkempen serta selepas diberi amanah.

“Nasihat kita kepada mereka ialah supaya berwaspada, jangan jatuh ke dalam perangkap atau isu yang boleh menjejaskan nama baik parti,” katanya lagi.

Daripada keseluruhan 40 calon yang diumumkan, tiga daripadanya adalah wanita yang akan mewakili parti di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jeffrey berkata, baki 11 calon lagi akan diumumkan sebelum hari penamaan calon dan dijangka melengkapkan senarai penuh calon STAR yang akan bertanding di seluruh Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama