PATI dipenjara lapan bulan miliki 2,050 liter petrol tanpa kebenaran

Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina, dijatuhi hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah memiliki barang kawalan berjadual. Foto | Ihsan KPDN

TAWAU: Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah memiliki 2,050 liter minyak petrol tanpa kebenaran di perairan Semporna, Selasa lalu.

Tertuduh, Al Haber Atara, 32, dan Baid Alpah, 19, mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki barang kawalan berjadual itu di perairan Tanjung Manimpa, Semporna, kira-kira jam 3.45 pagi pada 4 November lalu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didapati dalam kawalan dan milikan minyak petrol berjumlah 2,050 liter di atas sebuah bot laju tanpa nombor pendaftaran, dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk berurusan secara borong atau runcit tanpa lesen sah.

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua, denda maksimum RM3 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap kedua-dua tertuduh dan memerintahkan mereka dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan penghantaran pulang ke negara asal selepas selesai menjalani hukuman.

Mahkamah turut mengarahkan barang kes iaitu 2,050 liter petrol berkenaan dijual dan hasilnya diserahkan kepada kerajaan.

Selain itu, sebuah bot laju, enjin sangkut, throttle enjin, bateri, anak kunci bot serta 35 liter petrol bercampur minyak 2T turut dilucuthakkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah Seksyen 26(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPDN, PPP Samat Mapiare @ Muparia, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, tangkapan dibuat hasil risikan Unit Ungerin, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, yang mengesan bot dinaiki tertuduh di kawasan laut berkenaan sebelum pemeriksaan lanjut menemui petrol berkenaan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama