Pengundi muda bakal jadi penentu PRN Sabah – IDE Research Center

Senator Dewan Negara merangkap Pengerusi IDE Research Center, Senator Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, selepas sesi diskusi politik sempena program ‘Nadi Sabah 2025 – Suara Rakyat Menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17’ di PUSAT Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

KOTA KINABALU: Golongan muda dijangka muncul sebagai kumpulan penentu utama dalam pembentukan kerajaan baharu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17 yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

Senator Dewan Negara merangkap Pengerusi IDE Research Center, Senator Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, berkata pengundi berumur bawah 40 tahun kini merangkumi hampir 40 peratus daripada keseluruhan pemilih di Sabah, sekaligus memberi pengaruh besar terhadap keputusan pilihan raya negeri kali ini.

Menurutnya, tidak seperti generasi terdahulu, pengundi muda tidak lagi terikat dengan mana-mana parti, sebaliknya lebih menilai isu semasa, keupayaan calon serta tawaran masa depan yang meyakinkan.

“Pengundi muda tidak mempunyai loyalti kepada parti tertentu. Mereka tidak menilai sejarah atau jasa lama, sebaliknya melihat kepada janji dan keupayaan parti menawarkan masa depan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi diskusi politik sempena program ‘Nadi Sabah 2025 – Suara Rakyat Menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17’ di PUSAT Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Beliau berkata, trend politik generasi muda bukan hanya berlaku di Sabah, malah menjadi fenomena global termasuk di Indonesia dan Turki, di mana suara generasi baharu menjadi penentu utama kemenangan parti.

“Generasi muda mahu melihat isu yang menyentuh kehidupan mereka seperti pekerjaan, kestabilan ekonomi dan masa depan negeri. Parti yang berjaya membina naratif kempen yang meyakinkan akan memperoleh kelebihan,” ujarnya.

Katanya, media sosial turut memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi anak muda, namun tidak semestinya mencerminkan keupayaan sebenar seseorang calon.

“Di media sosial, ramai calon nampak meyakinkan tetapi apabila diberi kuasa, tidak semua mampu melaksanakan janji. Pengundi kini lebih matang dan berhati-hati,” katanya lagi.

Dalam konteks Sabah, jelasnya, isu infrastruktur asas, pendidikan dan peluang pekerjaan kekal menjadi fokus utama yang mempengaruhi kecenderungan pengundi muda.

Beliau turut menegaskan parti politik perlu memberi tumpuan khusus kepada strategi mendekati belia, kerana kumpulan itu kini menjadi nadi baharu dalam menentukan hala tuju negeri.

“Kegagalan memahami aspirasi mereka boleh menyebabkan parti kehilangan momentum. Generasi muda bukan sekadar penonton, mereka penentu masa depan politik Sabah,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama