Manifesto GRS wujudkan Dana Pelaburan Masa depan anak Sabah

 

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menekankan komitmen membela generasi muda negeri ini dengan mewujudkan Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah, sebahagian daripada manifesto Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah Ke-17 yang dilancarkan petang tadi.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata dana itu bakal memberi peluang kepada anak-anak Sabah untuk meningkatkan kebolehpasaran, pendapatan bermaruah serta penyertaan bermakna dalam pelbagai sektor ekonomi. 

“Dana ini akan mendapat suntikan modal permulaan daripada rizab negeri serta peruntukan tahunan daripada hak Pemberian Khas 40 peratus.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan GRS untuk membangunkan modal insan negeri secara holistik, selaras dengan agenda pembangunan strategik Sabah Maju Jaya,” katanya.

Beliau yakin dana ini mampu menyediakan asas kukuh bagi anak-anak Sabah menghadapi cabaran ekonomi masa depan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.

Menurutnya, manifesto yang dilancarkan bertemakan ‘Rumah Kita, Kita Jaga - Tanah Air Maju, Rakyat Berkemajuan’ itu menekankan hala tuju pembangunan negeri lima tahun akan datang, termasuk memperkukuh ekonomi, pendidikan, keselamatan, infrastruktur serta kesejahteraan rakyat.

“Melalui Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah, kita ingin pastikan generasi muda negeri ini mempunyai peluang sama rata untuk membina masa depan yang lebih cerah,” katanya pada majlis pelancaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Hajiji menegaskan GRS bukan sahaja bertekad mengekalkan kestabilan dan perpaduan negeri, malah berupaya membuka ruang pembangunan baharu bagi memastikan anak-anak Sabah dapat menikmati kehidupan lebih sejahtera dan maju. 

“Manifesto ini diyakini mampu meraih sokongan padu rakyat dalam pilihan raya pada 29 November ini, sekali gus memperkukuh hala tuju pembangunan Sabah berasaskan keupayaan dan kesejahteraan generasi muda,” katanya,


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama