Manifesto GRS sasar RM10 bilion hasil negeri menjelang 2030

 

KOTA KINABALU: Manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyasarkan peningkatan kutipan hasil negeri sebanyak RM10 bilion menjelang 2030 melalui pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan bahawa keyakinan itu berpunca daripada kedudukan kewangan negeri yang semakin kukuh sejak lima tahun lalu dan akan diteruskan sekiranya gabungan itu kembali diberi mandat oleh rakyat.

“Jika pada 2020 di bawah kerajaan sebelum ini hasil negeri hanya RM3.59 bilion, di bawah pimpinan GRS kita telah berjaya menembusi paras RM5 bilion buat pertama kali dalam sejarah pada 2021. 

“Momentum ini berterusan hingga mencecah hampir RM7 bilion tahun ini.

“Dengan strategi yang digariskan dalam manifesto baharu, kita bukan sahaja yakin capai RM10 bilion menjelang 2030, malah optimis mampu melepasi angka itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Pelancaran Manifesto GRS yang bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini. 

Menurutnya, peningkatan yang hampir berganda itu membuktikan keberkesanan hala tuju SMJ 1.0 yang menjadi asas kukuh untuk meneruskan SMJ 2.0 pada tempoh lima tahun seterusnya.

Menurutnya, bagi memastikan hasil negeri kekal mampan untuk generasi akan datang, GRS turut mengumumkan pelaksanaan ‘Sabah Sovereign Wealth Fund’. 

“Tahun hadapan kita akan menggubal satu enekmen khusus untuk mewujudkan Sabah Sovereign Wealth Fund yang kita namakan sebagai Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah.

“Dana berkenaan akan menerima modal permulaan daripada rizab negeri dan tambahan modal tahunan daripada pelaksanaan penuh hak 40% pemberian khas di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“We don't just talk, we walk the talk and walk in progress, itu paling penting.

“Kita tidak mahu hanya meningkatkan hasil hari ini, tetapi mahu menjamin kestabilan dan kemampanan hasil untuk anak cucu. 

“Sebahagian hasil negeri setiap tahun akan dilaburkan dan hanya keuntungannya diguna pada masa ditetapkan,” jelasnya. 

Manifesto GRS yang bertema ‘Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan’ itu turut memberi tumpuan kepada pengukuhan momentum, peningkatan pendapatan negeri serta memperkasa sosioekonomi rakyat.

“Kita tidak hanya bercakap, tetapi membuktikan kemampuan meningkatkan hasil dan rizab negeri. 

“Dengan mandat rakyat, GRS akan terus melonjakkan hasil negeri sehingga RM10 bilion bagi memastikan lebih banyak isu rakyat dapat diselesaikan,” tambahnya. 

Pembentangan manifesto GRS merangkumi satu gagasan, empat rukun dan 16 strategi pembangunan negeri.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama