KOTA KINABALU: Manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan menjadi teras utama pengukuhan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sekaligus memastikan negeri ini bebas daripada kecelaruan politik akibat ‘tukar-tukar’ kerajaan.
Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Datuk Mohamed Razali Razi berkata, manifesto berkenaan bukan sekadar janji politik, sebaliknya kesinambungan kepada kerangka pembangunan yang membawa pelbagai hasil sepanjang lima tahun lalu.
“Ini manifesto kita. Ia merangkumi pembangunan, belia, wanita dan seluruh lapisan masyarakat. Paling penting, ia mengukuhkan kerangka SMJ 2.0 yang tidak boleh kita lepaskan.
“Kita mahu Sabah terus ke hadapan. Bila kerajaan bertukar, yang rugi adalah rakyat.
“Cukuplah. Sudah sampai masa kita bersatu untuk membina masa depan bersama,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran manifesto GRS, di sini, pada Isnin.
Mengulas mengenai pelaksanaan pembangunan, khususnya isu ‘tiga serangkai’, Razali menjelaskan banyak projek telah pun dilaksanakan walaupun sebelum manifesto dibentangkan.
“Jangan lihat manifesto semata-mata. Tiga Serangkai ini, kita sudah buat banyak projek sejak awal lagi.
“Banyak yang sedang dan akan diimplementasi tahun depan. Ini bukan sekadar kata-kata, ia benar-benar berlaku di lapangan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Razali menambah bahawa hanya mandat yang jelas dan kukuh pada pilihan raya akan datang mampu memastikan projek pembangunan itu dilaksanakan dengan baik.
“Lima tahun sudah kita lalui. Lima tahun akan datang lebih penting. Dengan mandat rakyat, kita boleh terus melaksanakan projek-projek yang berada dalam peringkat akhir dan memastikan hasilnya dinikmati semua,” ujar beliau.
