KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor, Rafie Robert Tawik memilih untuk memberi tumpuan membangunkan kawasan terbabit sekiranya diberi mandat itu dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Menurutnya, beliau lebih selesa memilih untuk tidak menyerang peribadi calon lain meskipun berdepan dengan 'serangan' sedemikian rupa.
"Saya tidak pilih untuk menyerang peribadi calon lain.
"Kerana fokus saya adalah untuk menerangkan hala tuju yang bakal saya lakukan untuk Bingkor tercinta," katanya yang mahu meneruskan halatuju Bingkor Membangun Bersama Rakyat 2.0 (BMBR2.0).
Rafie menjadi antara calon ‘favourite’ rakyat di Bingkor berikutan beliau merupakan pemimpin muda yang aktif diperingkat akar umbi khususnya dalam komuniti.
Beliau berkhidmat sebagai Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah Keningau malah juga menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras KDCA Daerah Keningau.
Disamping itu, beliau juga merupakan penggerak utama acara signifikan Keningau, Crocker Range Festival yang mengangkat budaya dan tradisi sehingga ke peringkat antarabangsa.
Penglibatan Rafie dalam bidang sukan juga menonjol berikutan beliau merupakan Naib Presiden Sabah Football Association (SAFA) dan bekas Pengurus Sabah FC pada musim 2024/2025.
Rafie bakal berdepan lima calon bagi kerusi DUN Bingkor iaitu Niklos Ongoh (KDM); Benedict Martin Gunir (WARISAN); Kennedy Jie John @ Kenn (UPKO), Datuk Mohd Ishak Ayub (STAR) dan Kenolee Justine (PIS).
