KOTA KINABALU : Badan Perlindungan Hak
Cipta Muzik Berhad (MACP) akan terus memperkukuh program di Sabah dan Sarawak
bagi meningkatkan kesedaran hak cipta karyawan seni muzik serta perlindungan
karya.
Ahli Lembaga Pengarah Pencipta MACP
mewakili Malaysia Timur, Roger Wang berkata tahun ini MACP menganjurkan dua
acara di Sabah dan turut merancang untuk menganjurkan kira-kira empat acara
setahun di Sarawak pada masa depan bergantung kepada sumber dan kapasiti yang
ada.
“Tahun ini kami sudah menganjurkan dua
acara di Sabah dan maklum balas sangat positif. Banyak bakat baharu muncul dari
Sabah dan Sarawak malah ahli sendiri meminta agar kehadiran MACP diperluas di
Malaysia Timur.
"Dengan perkembangan era digital,
jumlah pencipta dari Sabah dan Sarawak semakin meningkat dengan ketara serta
ahli-ahli badan berkenaan turut menuntut agar MACP memperkukuh perkhidmatan.
"Dengan lebih banyak program di
Sabah, kami ingin mendekatkan diri dengan penggiat muzik dan meningkatkan
kesedaran hak cipta,” katanya kepada media dalam satu sesi Majlis Ramah Mesra
MACP Bersama Media baru-baru ini.
Menurut Wang, jumlah ahli MACP di
Malaysia Timur sekitar 500 orang bersamaan tujuh peratus daripada keseluruhan
ahli MACP di negara ini.
"Tahap kesedaran mengenai fungsi
MACP di Malaysia Timur masih rendah berbanding Semenanjung walaupun ramai
pernah mendengar mengenai kutipan dan pelesenan.
“Ramai komposer sebenarnya tidak
benar-benar tahu peranan MACP atau tidak yakin untuk menjadi ahli. Selain itu,
kami dapati ramai tidak tahu menggunakan platform dalam talian MyKarya yang
membolehkan mereka menyemak pendaftaran lagu dan kutipan royalti,” ujarnya.
Wang juga memaklumkan syarat keahlian kini dipermudah iaitu hanya memerlukan satu lagu yang aktif di platform penstriman dengan sekurang-kurangnya 1,000 tontonan untuk layak mendaftar.
