KOTA KINABALU: Hampir 1,000 usahawan
wanita di Sabah menerima bantuan peralatan daripada Kerajaan Negeri melalui
Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah sejak 2016 sehingga kini.
Pengarah JHEWA Sabah, Haslina Ismail
berkata dari 2016 seramai 927 usahawan wanita telah menerima bantuan dan ini
dapat memperkukuh kemampuan mengurus serta mengembangkan perniagaan mereka
secara lebih proaktif dan berdaya saing.
“Program Keusahawanan JHEWANITA
menekankan pembangunan usahawan wanita yang mampan, berdaya tahan, dan mampu
menyesuaikan diri. Ini bukan sahaja menyokong agenda pembangunan wanita, tetapi
turut memperkukuh peranan mereka dalam ekosistem negeri Sabah.
"Melalui pelbagai aktiviti,
termasuk 32 kursus kemahiran sepanjang tahun, ceramah dan sesi perkongsian
pengalaman, peserta berpeluang menimba ilmu, meningkatkan kemahiran serta
membina keyakinan diri dalam bidang keusahawanan,” katanya ketika berucap
semasa Program Keusahawanan JHEWANITA Tahun 2025, pada Selasa.
Program itu turut diserikan dengan
kehadiran isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Faridah Tussin.
Haslina menegaskan JHEWA sentiasa
komited menjadi rakan strategik dalam membimbing, memantau, dan menghubungkan
usahawan wanita Sabah dengan peluang perniagaan yang lebih luas.
“Ini termasuk akses kepada modal,
latihan teknikal, bimbingan digital dan pasaran antarabangsa yang akan menjadi
pemangkin kepada lahirnya lebih ramai usahawan wanita,” ujarnya.
Beliau berharap program berkenaan dapat
menyediakan platform pembelajaran dan jaringan strategik bagi membantu para
usahawan wanita terus berkembang dan berdaya saing.
Turut berlangsung semasa program
tersebut ialah sesi ceramah dan segmen Inspirasi Keusahawanan yang disampaikan
oleh Wanita Ikon Sabah 2024, Mardiana Made.
