KPDN siasat kenaikan tambang bot laju Menumbok - Labuan

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memulakan siasatan berhubung tindakan Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok menaikkan harga tambang sebanyak RM3 sehala bagi perjalanan antara Menumbok dan Labuan yang mula berkuat kuasa pada 1 November lalu.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pihaknya menerima aduan daripada mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury, berhubung perkara itu selepas satu notis kenaikan tambang dikeluarkan kepada pelanggan oleh persatuan terbabit.

Katanya, beliau telah mengarahkan bahagian dan agensi berkaitan di bawah KPDN mengambil tindakan segera, termasuk penyiasatan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dari aspek amalan anti-persaingan.

“Di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712), sebarang persetujuan antara perusahaan untuk menetapkan harga, tambang atau surcaj melalui pakatan sama ada melalui persatuan atau tidak merupakan pelakuan kartel yang serius.

“Perbuatan sebegini boleh dikenakan penalti kewangan sehingga 10 peratus daripada hasil kutipan syarikat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Armizan berkata, KPDN melalui MyCC mempunyai rekod tegas dalam menangani isu kartel dan monopoli, termasuk mengenakan penalti berjumlah RM687.9 juta terhadap 270 syarikat, serta RM2.2 juta terhadap lima syarikat feri RORO di Langkawi sebelum ini.

“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mensabotaj ekonomi melalui tindakan kartel. Ia bukan sahaja menjejaskan kepentingan pengguna, malah turut memberi kesan kepada pemain industri lain yang bergantung kepada perkhidmatan bot laju.

“Kami komited memastikan pasaran kekal kompetitif, sihat dan telus demi kesejahteraan pengguna serta kestabilan ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Sektor Barang Kawalan dan Subsidi (SBKS) KPDN juga sedang merujuk kepada Jabatan Laut Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan bagi menentukan status perlesenan dan pendaftaran pengusaha terlibat.

Armizan berkata, pengusaha bot pengangkutan awam berdaftar layak menerima subsidi petrol RON95 di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) yang dikawal selia oleh KPDN.

“Oleh itu, alasan kenaikan kos bahan api tidak boleh digunakan untuk menaikkan tambang memandangkan kerajaan telah menyediakan kemudahan subsidi kepada mereka,” jelasnya.

Menurutnya, tindakan menaikkan harga tambang tanpa asas yang munasabah memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat, terutama penduduk yang bergantung kepada perkhidmatan pengangkutan itu setiap hari.

“KPDN akan terus memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar kepentingan pengguna sentiasa terpelihara,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama